Ready Nak ‘Check-In’? Thee Marloes Bakal Lancar Album Sulung “Di Hotel Malibu” 22 Mei Ini!

Trio soul sensasi asal Surabaya, Thee Marloes, kembali mencuri tumpuan industri muzik antarabangsa dengan pengumuman album kedua mereka yang berjudul Di Hotel Malibu. Album yang amat dinantikan ini dijadualkan meluncur secara rasmi pada 22 Mei depan di bawah naungan label terkemuka, Big Crown Records.

Hadir sebagai kesinambungan kepada album sulung mereka, Perak, karya baharu ini memperlihatkan evolusi muzik yang lebih matang dan berani. Menerusi Di Hotel Malibu, Thee Marloes yang dianggotai oleh Natassya Sianturi (vokal/papan kekunci), Sinatrya Dharaka (gitar/penerbit), dan Tommy Satwick (dram) cuba melangkaui batasan genre soul konvensional dengan menyuntik identiti Indonesia yang lebih kental.

Menurut kenyataan rasmi, album ini memuatkan sebanyak 14 buah lagu, termasuk beberapa single yang telah pun mendapat sambutan hangat sebelum ini seperti “Harap dan Ragu”, “I’d Be Lost”, “What’s On Your Mind”, serta lagu judul “Di Hotel Malibu”.

Secara muzikalnya, trio ini bergerak merentasi spektrum yang lebih luas dengan susunan instrumen yang lebih bebas dan perubahan ritma yang tidak dijangka. Band ini menyifatkan Di Hotel Malibu sebagai respons terhadap realiti kehidupan, dinamika percintaan, serta pengalaman yang mereka lalui sepanjang dua tahun mendaki tangga kejayaan.

“Album ini adalah peluasan horizon buat kami. Ia memperlihatkan sejauh mana kami telah berkembang sebagai sebuah band sejak debut tempoh hari,” jelas kumpulan tersebut dalam satu kenyataan.

Inspirasi terbesar bagi penghasilan album ini hadir daripada perhatian global yang diraih oleh mereka sejak kebelakangan ini. Kejayaan menembusi pasaran antarabangsa bukan sahaja meniup semangat baharu, malah memberi keyakinan kepada Thee Marloes untuk terus bereksperimen dengan struktur lagu yang lebih cair namun tetap setia pada akar muzik soul.

Bagi peminat yang tidak sabar untuk mendengarkan buah tangan terbaharu daripada “Permata Surabaya” ini, pautan pra-simpan (pre-save) kini telah dibuka di http://lnk.to/DiHotelMalibu.

Dengan kualiti produksi unggul daripada Big Crown Records, Di Hotel Malibu dijangka akan mengukuhkan lagi kedudukan Thee Marloes sebagai eksport muzik terbaik dari Indonesia ke persada dunia. Saksikan perjalanan seni mereka yang bakal menjelajah dunia tidak lama lagi bersama alunan soul yang memukau.