Siap sedia Malaysia! Peterpan Kembali Dengan “The Journey Continues” Di Idea Live Arena Julai Depan!

Selepas mencetuskan fenomena luar biasa di Indonesia, gelombang nostalgia yang dinanti-nantikan kini bersedia untuk melanda peminat di Malaysia. “The Journey Continues,” sebuah penghormatan besar buat legasi muzik Peterpan, dijadualkan bakal berlangsung pada 11 Julai 2026 bertempat di Idea Live Arena.

Dianjurkan oleh Pulse Project Asia dengan kerjasama rakan strategik seperti Black Sky, Sunstrong, INTX dan Orlaith Inc., konsert ini bukan sekadar persembahan muzik biasa. Ia merupakan sebuah naskhah emosi yang ingin menghidupkan kembali memori buat jutaan jiwa yang membesar dengan karya-karya ikonik kumpulan lagenda tersebut. Lagu-lagu seperti “Mimpi Yang Sempurna” dan “Semua Tentang Kita” bukan sekadar halwa telinga, malah menjadi saksi kepada perjalanan hidup, harapan, dan cinta para peminatnya.

Malam penuh bermakna ini akan menampilkan barisan vokalis hebat dari dua negara yang akan memberikan interpretasi tersendiri terhadap karya Peterpan tanpa meminggirkan jiwa asal lagu-lagu tersebut. Antara bintang yang bakal menghiasi pentas ialah Tantri, vokalis utama kumpulan Kotak yang cukup terkenal dengan aura rock dan karisma yang memukau. Turut serta ialah bintang muda Indonesia, Rony Parulian, yang kini menjadi kegilaan ramai menerusi vokal baladanya yang mendalam.

Mewakili tuan rumah, penyanyi dan komposer prolifik Malaysia, Hael Husaini, bakal memberikan sentuhan pop dan R&B uniknya ke dalam rangkaian lagu-lagu Peterpan. Sebagai kejutan tambahan, pihak penganjur turut memberi bayangan bahawa dua lagi nama besar dalam industri bakal diumumkan tidak lama lagi bagi memeriahkan lagi konsert ini.

Selain berfungsi sebagai acara hiburan, konsert ini turut dilihat sebagai jambatan budaya yang memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Indonesia menerusi pertumbuhan industri kreatif serantau. Ia merupakan satu jemputan buat peminat untuk bersama-sama merasai kembali detik-detik indah yang pernah hidup dalam muzik mereka.

Tiket akan mula dijual pada 30 April 2026, jam 1.00 petang melalui platform Ticket2u dan Fantopia. Pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan nostalgia yang tiada galang gantinya ini.

INFO KONSERT

  • Acara: The Journey Continues
  • Tarikh: 11 Julai 2026
  • Lokasi: Idea Live Arena, Malaysia
  • Tiket: www.ticket2u.com.my / Fantopia
  • Jualan Tiket: Mulai 30 April 2026 (1:00 PM)