Demam K-Drama Vertikal Melanda! Tonton Lancar “K-Daebak” Dengan 9 Judul Pilihan

Platform penstriman popular, Tonton, terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama hiburan dengan pelancaran tawaran terbaharu, Tonton Vertical: K-Daebak, iaitu koleksi siri K-Drama dalam format vertikal yang direka khas untuk tontonan pantas, padat dan mesra pengguna di peranti mudah alih.

Selari dengan komitmen untuk menawarkan pengalaman hiburan yang lebih segar dan relevan, Tonton Vertical: K-Daebak menghimpunkan pelbagai genre popular termasuk romantik, saspens, komedi, drama dan remaja. Kesemua kandungan ini disampaikan dalam format episod pendek berdurasi sekitar satu hingga dua minit, bertepatan dengan gaya hidup penonton masa kini yang sentiasa bergerak.

Bermula 1 April 2026, sebanyak sembilan judul baharu akan dilancarkan serentak, menampilkan jalan cerita penuh emosi, plot twist yang mengejutkan serta watak-watak yang memikat. Antara judul yang dijangka mencuri perhatian ialah The Tyrant’s Bride To-Be, sebuah drama fantasi romantik tentang seorang wanita yang terperangkap dalam dunia novel dan berusaha mengubah takdir kematiannya melalui perkahwinan kontrak dengan seorang pengerusi korporat yang kejam. Turut ditampilkan ialah My Guy Friend Is A Chaebol, sebuah drama ringan namun dramatik yang mengangkat kisah pengkhianatan cinta dan kemunculan sahabat lama yang menyimpan rahsia besar.

Koleksi ini turut dilengkapi dengan My Partner, The Devil yang membawa kisah balas dendam gelap melibatkan perjanjian dengan syaitan untuk mengundurkan masa. Selain itu, I Buy, Therefore I Am mengisahkan seorang pekerja kedai buku yang terperangkap dalam dilema cinta antara bekas crush dan rakan sekerja baharu. Romance Is Comedy pula menampilkan percintaan pejabat yang manis tetapi sarat dengan salah faham, manakala Level Up To Mess hadir sebagai komedi romantik penuh sensasi dengan plot mendebarkan serta situasi luar biasa yang dipenuhi kejutan.

Judul lain yang turut melengkapkan barisan ini termasuk My Boss My Ex yang menghidupkan kembali cinta lama dalam suasana tempat kerja. I Cheated on My Wife or Did I? pula mengetengahkan kisah misteri seorang lelaki yang cuba merungkai kebenaran di sebalik kecurangan yang tidak diingatinya. Sementara itu, The Most Painful Kiss In The World menawarkan kisah fantasi emosional tentang pengorbanan dan pencarian kebahagiaan sejati.

Selepas minggu pelancaran, Tonton akan memperkenalkan satu siri baharu setiap hari Isnin dengan jumlah keseluruhan sehingga 60 siri setahun. Inisiatif ini memastikan platform tersebut sentiasa segar dengan kandungan terkini serta menawarkan pelbagai pilihan kepada penonton.

Penonton boleh menikmati akses percuma bagi 10 episod pertama untuk setiap siri dalam koleksi K-Daebak. Episod seterusnya boleh ditonton melalui langganan Tonton bagi pengalaman tontonan yang lebih menyeluruh. Setiap siri turut dilengkapi dengan sarikata Bahasa Melayu, Inggeris dan Cina bagi memastikan akses yang lebih meluas kepada pelbagai lapisan penonton.

Pelancaran Tonton Vertical: K-Daebak bukan sekadar penambahan kandungan baharu, malah mencerminkan evolusi dalam cara penonton menikmati drama yang kini lebih pantas, ringkas dan selari dengan gaya hidup digital masa kini.

Untuk maklumat lanjut mengenai rancangan kegemaran, orang ramai boleh mengikuti Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram menerusi akaun rasmi @tontonmy.