Drama Kerana Cinta Itu Dusta menyelami dunia ego dan kepercayaan yang dikhianati, dengan latar belakang kehidupan pempengaruh, memperlihatkan realiti pahit apabila populariti menjadi racun dalam sebuah perkahwinan.
Drama ini mengisahkan Orked (Emma Maembong) dan Sufian (Jazmy Juma), pasangan suami isteri yang memulakan perniagaan dari rumah sebelum mencipta nama sebagai pempengaruh berjaya. Kejayaan mereka banyak digerakkan oleh kebijaksanaan Orked dalam dunia bisnes, manakala Sufian setia menyokong di belakang tabir. Namun, apabila Orked semakin menyerlah dan berpengaruh, Sufian mula tenggelam dalam bayang-bayang isterinya sendiri.


Rasa tersisih dan ego yang tercalar mula mengheret Sufian ke arah keputusan-keputusan yang semakin meretakkan kepercayaan dalam rumah tangga mereka. Kehadiran Seri (Azira Shafinaz), sahabat rapat Orked, secara perlahan-lahan mengubah dinamik yang selama ini dianggap selamat dan utuh. Lebih menyayat hati, Seri bukan sekadar kawan biasa, malah insan yang pernah diselamatkan Orked daripada perkahwinan toksik dan diberi ruang untuk membina semula hidupnya.


Batas yang semakin kabur dan rahsia yang tersimpan mula menguji nilai setia serta kepercayaan, hingga hubungan yang dibina atas dasar saling melindungi perlahan-lahan goyah. Apabila kebenaran kian menghampiri, bukan sahaja perkahwinan terancam, malah persahabatan turut retak, memaksa Orked memilih antara mempertahankan maruah diri atau terus berdiam demi ketenangan yang rapuh. Mampukah hubungan ini diselamatkan, atau segalanya bakal musnah tanpa jalan kembali?
Jazmy Juma berkongsi pandangannya mengenai watak Sufian, yang menurutnya bukan sekadar lelaki ego, tetapi seseorang yang berdepan rasa dipinggirkan. “Cabaran terbesar membawa watak Sufian ini adalah memahami mengapa masalah yang sepatutnya diselesaikan secara matang akhirnya dibawa ke media sosial untuk mencari validasi. Dalam realiti hari ini, apabila emosi mengatasi rasional, satu perkongsian sahaja mampu memburukkan keadaan,” ujarnya.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Kerana Cinta Itu Dusta, bermula 25 Februari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.