DUKES, sebuah band di bawah naungan Alternate Records & Talents, bakal mencatat detik penting dalam perjalanan seni mereka menerusi persembahan solo pertama berjudul DUKES QUEST yang akan berlangsung pada 7 Februari 2026, jam 7.00 malam di Drumasia. Persembahan ini mengangkat konsep yang menggabungkan elemen teater dan muzik secara menyeluruh, sekali gus menyajikan pengalaman seakan sebuah muzikal pentas yang segar, imersif dan berbeza daripada persembahan konvensional.
Pada malam tersebut, DUKES akan mempersembahkan kesemua lagu ciptaan asal yang telah dilancarkan setakat ini, selain memperkenalkan sebuah lagu baharu yang bakal dimuatkan dalam album akan datang. Sambutan luar biasa daripada peminat terbukti apabila tiket persembahan ini habis terjual dalam tempoh hanya dua minggu.

Selari dengan konsep penceritaan dan lakonan yang diketengahkan, DUKES QUEST membawa tema zaman pertengahan bagi menghidupkan suasana pentas serta memberikan pengalaman menonton yang lebih mendalam dan interaktif. Persembahan ini turut diserikan dengan penampilan pembuka tirai oleh Laisa daripada Fuad Duo sebelum DUKES mengambil alih pentas utama dan membawa penonton menyelami sepenuhnya perjalanan muzik mereka.
Selain itu, persembahan ini menandakan satu lagi pencapaian penting buat DUKES apabila mereka bakal memperkenalkan barangan cenderamata rasmi pertama yang hanya akan dijual pada malam persembahan, sekali gus menjadikan pengalaman tersebut lebih istimewa dan bermakna buat para peminat. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti DUKES di Instagram @dukes.my serta mendapatkan informasi terbaharu mengenai Alternate Records & Talents melalui akaun rasmi Facebook, Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_.













