Platform penstriman UTV terus mengukuhkan komitmennya untuk mempersembahkan kandungan tempatan berkualiti melalui telefilem romantik komedi terbaharu berjudul Fantasi Fiksi, yang kini boleh distrim pada harga RM9.50.
Fantasi Fiksi mengangkat premis unik dan segar dengan membawa penonton menyelami kisah Azalea, seorang penulis skrip yang sering dikritik kerana menghasilkan cerita klise. Segalanya berubah apabila satu insiden di set penggambaran menyebabkan Azalea terperangkap dalam dunia fiksyen ciptaannya sendiri. Untuk kembali ke dunia sebenar, dia perlu membuat Irfan jatuh cinta kepadanya. Namun, dia menyedari bahawa dalam cerita itu dia sebenarnya ditakdirkan sebagai antagonis. Dalam dilema tersebut, Azalea terpaksa memilih sama ada mengikut takdir yang sudah tertulis atau berani mengubah nasibnya sendiri. Naskhah ini bukan sahaja menyajikan elemen romantik dan komedi, malah turut menyelitkan mesej tentang pencarian diri, keberanian, dan penerimaan terhadap kelemahan.

Menurut pengarahnya, Tam Suhaimi, telefilem ini dihasilkan sebagai sebuah karya ringan tetapi mempunyai lapisan makna yang lebih mendalam. Beliau berkata, “Fantasi Fiksi sebuah karya bergenre romantik komedi. Saya cuba hasilkan drama ringan dan sampaikan kisah ini daripada sudut pandangan penulis skrip yang sering menghasilkan cerita klise. Bila dia berada di dunia seperti yang digambarkan, dia sendiri mengakui tulisannya tidak seperti apa yang orang labelkan. Dalam masa yang sama, terdapat pengajaran tentang pencarian diri.”
Tam turut berkongsi pandangannya mengenai kedudukan genre romantik komedi dalam industri perfileman masa kini yang semakin terpinggir berbanding genre lain. Menurutnya, bukan sahaja di Malaysia, malah di Indonesia karya seram lebih mendapat perhatian manakala di Malaysia, filem aksi sering menjadi pilihan kerana produser mencari pulangan komersial. Bagaimanapun, genre romantik komedi masih mempunyai pengikutnya, dengan contoh seperti Gol & Gincu, Pisau Cukur, dan Istanbul Aku Datang yang kekal diingati penonton hingga kini. Beliau menambah, walaupun genre ini sering diketepikan, minat penonton terhadap karya romantik komedi masih tinggi dan relevan dengan trend media sosial seperti TikTok.
Menjadi kebanggaan, Fantasi Fiksi berjaya menghimpunkan empat pemenang trofi Festival Filem Malaysia (FFM) dalam satu naskhah iaitu Sazzy Falak, Liyana Jasmay, Amy Mastura, dan Sharifah Amani. Turut membarisi pelakon ialah Iedil Dzuhrie, Sherry Alhadad, Eyka Farhana, Fara Nadiah, Mustaqim Bahadon, dan Luqman Hafidz.

Penerbit dan Presiden UTV, Datuk Adzliana Hasan, menyatakan bahawa telefilem ini kini boleh distrim secara eksklusif di platform UTV pada harga RM9.50 dan yakin naskhah ini akan mendapat tempat di kalangan penonton. Beliau berkata, “Karya romantik komedi seperti ini mempunyai pengikut tersendiri, dan dengan barisan pelakon berbakat besar, Fantasi Fiksi pasti mendapat sambutan. UTV juga merancang untuk menembusi pasaran Indonesia dan akan terus menerbitkan karya-karya hebat dan berkualiti sepanjang 2026.”
Dengan gabungan pelakon berpengalaman, premis kreatif, serta sentuhan pengarahan yang segar, Fantasi Fiksi dijangka mampu mengubat kerinduan penonton terhadap karya romantik komedi yang ringan, menghiburkan, dan sarat dengan mesej bermakna. Telefilem ini kini boleh distrim secara eksklusif di UTV.