Jakel Fenomena Raya 2026 Angkat Fesyen Raya, Kolaborasi Eksklusif Fazura Curi Tumpuan

Jenama tekstil dan fesyen terkemuka negara, Jakel, terus melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya dalam tempoh lebih 40 tahun penubuhannya menganjurkan sebuah pertunjukan fesyen berskala besar menerusi acara eksklusif Jakel Fenomena Raya 2026. Pertunjukan ini menjadi platform utama bagi memperkenalkan koleksi Raya terbaharu Jakel 2026, sekali gus menandakan satu transformasi baharu jenama tersebut dalam meraikan fesyen Raya menerusi pendekatan yang lebih segar, moden dan berimpak tinggi.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Bahagian Pemasaran dan Promosi Jakel Trading Sdn Bhd, Muzaffar Jakel, penganjuran Jakel Fenomena Raya 2026 merupakan satu detik bersejarah buat syarikat itu. Selepas lebih empat dekad berada dalam industri, ini merupakan kali pertama Jakel menganjurkan pertunjukan fesyen berskala besar. Jelas beliau, Jakel Fenomena Raya 2026 bukan sekadar memperkenalkan koleksi baharu, malah menjadi simbol evolusi serta aspirasi Jakel dalam mengangkat fesyen Raya ke tahap yang lebih tinggi.

Acara ini turut mencuri tumpuan apabila menampilkan kolaborasi eksklusif bersama bintang tersohor Fazura, yang menjadi antara sorotan utama Jakel Fenomena Raya 2026. Kolaborasi ini bukan berbentuk pelantikan duta, sebaliknya merupakan kerjasama khas eksklusif Jakel bagi tahun 2026, sekali gus mencetuskan fenomena dan keterujaan dalam kalangan peminat serta pemerhati industri fesyen. Muzaffar menjelaskan bahawa kolaborasi eksklusif ini dijangka mampu mencipta impak besar dan selari dengan matlamat Jakel untuk memastikan acara tersebut mendapat perhatian meluas, khususnya dalam kalangan media digital dan e-media.

Pertunjukan fesyen ini turut diserikan dengan kehadiran barisan duta utama Jakel Raya 2026 yang terdiri daripada selebriti dan personaliti terkenal tanah air seperti Nabil Ahmad bersama keluarga, Achey bersama keluarga, Senario, Cik Epal dan Ammar, Elly Mazlein, Kamal Adli serta Que Haidar. Selain itu, Jakel turut memperkenalkan barisan duta Gen Z Jakel Raya 2026 sebagai usaha mendekati generasi muda dan pelanggan baharu. Antara duta Gen Z yang terlibat ialah Lorenzo Irmann, Ara Bella Ellen, Zarif Ghazi dan Bella Dowanna.

Kesemua duta ini tampil memperagakan koleksi Raya 2026 yang mengetengahkan rekaan elegan, kontemporari dan versatil, sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat. Pada masa sama, Jakel turut mengumumkan pelancaran JAKEL PRA-RAMADAN SALE yang akan berlangsung bermula 23 Januari hingga 18 Februari bersempena pengenalan New Collection 2026. Menurut Muzaffar, jualan Pra-Ramadan ini memberi peluang kepada pelanggan mendapatkan koleksi Raya 2026 lebih awal dengan tawaran istimewa sebagai sebahagian daripada komitmen Jakel untuk memastikan pelanggan sentiasa menikmati pilihan terbaik menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Secara keseluruhan, Jakel Fenomena Raya 2026 bukan sekadar sebuah pertunjukan fesyen, malah menjadi manifestasi komitmen Jakel dalam memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju fesyen Raya negara, di samping memperluas kolaborasi strategik serta mencipta fenomena baharu yang relevan dengan kehendak dan cita rasa generasi masa kini.