4U Music Pertaruh Emosi Menerusi MAWAR, Lagu Inspirasi Kisah Sebenar

4U Music, sebuah band pop, rock dan balad dari Kuala Terengganu yang mula aktif sejak tahun 2023, melancarkan single terbaharu mereka berjudul Mawar pada 2 Januari 2026. Dikenali dengan persembahan yang bertenaga serta sarat emosi, 4U Music menjadikan pentas sebagai ruang terbuka tanpa sempadan antara band dan penonton, selari dengan semangat “stage pun crowd yang punya” yang sentiasa menjadi identiti setiap persembahan mereka.

Kumpulan yang dikenali sebagai 4U Music ini dianggotai oleh Akim selaku pemain bass, Aiman di posisi gitar, Payeh sebagai pemain dram dan Juna sebagai vokalis. Sejak penubuhan, mereka perlahan-lahan membina nama dalam industri muzik tempatan menerusi persembahan pentas, undangan korporat serta keaktifan konsisten di platform media sosial.

Menurut Juna, Mawar terlahir daripada kisah benar yang sangat dekat dengan pengalaman mereka. Lagu ini bukan sekadar mengangkat tema kehilangan, tetapi menyentuh keikhlasan untuk melepaskan insan tersayang demi kebahagiaan mereka, sebagai bukti bahawa cinta sejati benar-benar wujud.

Aiman selaku penulis dan pencipta lagu Mawar pula menjelaskan bahawa lagu ini dianggap sebagai doa terakhir seorang kekasih. Mawar membawa mesej bahawa cinta sejati tidak berakhir dengan perpisahan atau kematian, sebaliknya terus hidup sebagai kenangan dan doa yang tidak terpadam.

Berbeza dengan single terdahulu berjudul Tulip yang tampil lebih ceria dan rancak, Mawar memperlihatkan sisi lebih matang 4U Music melalui penceritaan yang mendalam dan emosional. Pemilihan genre pop balad dibuat bagi memastikan emosi serta lirik lagu dapat disampaikan secara jujur dan dekat dengan perasaan pendengar.

4U Music turut menyatakan harapan agar mereka dapat terus bersaing secara sihat dalam industri muzik tanah air, sambil mengekalkan kejujuran dalam setiap karya yang dihasilkan. Mawar disifatkan sebagai hasil usaha, kesabaran serta sokongan rakan-rakan yang sentiasa berada di belakang perjalanan seni mereka.

Selain dilancarkan di semua platform penstriman digital, peminat juga boleh menyaksikan muzik video rasmi Mawar yang boleh ditonton menerusi saluran YouTube NSR Malay bermula 2 Januari 2026.