Program realiti pencarian hos baharu, Malaysian Host Wanted, terus mencuri tumpuan penonton apabila episod kedua menyaksikan persaingan semakin sengit dengan hanya enam peserta terbaik daripada sepuluh orang berjaya mara ke peringkat final. Enam finalis yang terpilih ialah Ceddy Ang, Meyra Khan, Fimie Don, Daniel Cheang, Nina Amin dan Keanu Azman, masing-masing membawa keunikan tersendiri dalam usaha membuktikan kelayakan sebagai hos profesional masa kini.
Episod kedua yang berdurasi satu jam ini memberi fokus utama kepada perjalanan salah seorang finalis, Ceddy Ang, dalam menghasilkan sebuah episod pilot bagi rancangan ciptaannya sendiri berjudul Dr. Foodie. Tugasan ini bukan sahaja menguji kebolehan mengacara, malah menilai keupayaan peserta dalam merangka konsep, menghasilkan kandungan yang relevan serta memahami keperluan pasaran televisyen semasa.
Menerusi Dr. Foodie, Ceddy Ang tampil sebagai pengacara utama dengan watak unik seorang “doktor makanan” yang mendiagnosis permasalahan sesebuah restoran. Dalam episod pilot tersebut, Dr. Foodie menerima aduan mengenai sebuah restoran yang menyajikan hidangan lazat namun kurang mendapat sambutan pelanggan, sekali gus membuka ruang kepada pendekatan penyiasatan yang santai tetapi informatif.

Bersama artis jemputan, Marsha Milan, Ceddy Ang turun padang ke restoran berkenaan bagi meneliti operasi, perkhidmatan dan strategi perniagaan yang dijalankan. Pendekatan investigatif yang digabungkan dengan elemen hiburan menjadikan Dr. Foodie sebuah rancangan yang bukan sahaja menghiburkan, malah memberi nilai tambah kepada penonton dan pengusaha makanan.
Sepanjang 30 minit pertama, penonton dibawa menyelami sisi belakang tabir perjalanan Ceddy Ang sebagai penerbit dan pengacara, termasuk proses perancangan konsep, cabaran produksi serta tekanan sebenar yang dihadapi oleh finalis. Manakala 30 minit seterusnya memaparkan tayangan penuh episod pilot Dr. Foodie, diikuti sesi tontonan dan reaksi daripada barisan juri serta panel jemputan.
Episod ini dinilai oleh hos dan juri tetap Sherry Alhadad, bersama dua juri profesional berpengalaman, Datuk Aznil Haji Nawawi dan Awal Ashaari, selain kritikan membina daripada rakan-rakan wartawan industri hiburan. Secara keseluruhan, episod kedua Malaysian Host Wanted memperlihatkan tahap profesionalisme, kreativiti dan potensi sebenar yang perlu dimiliki oleh seorang hos televisyen, sekali gus menjadikannya episod wajib tonton buat peminat rancangan realiti tempatan.

Untuk makluman, pemenang Malaysian Host Wanted bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 serta peluang membina kerjaya sebenar sebagai hos di rancangan terbitan Astro. Saksikan Malaysian Host Wanted Episod 2 – Dr. Foodie oleh Ceddy Ang secara On Demand di Astro GO dan sooka, serta episod baharu setiap Khamis jam 11.30 malam di Astro Ria saluran 104.