TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Kebangkitan Sinema Mahasiswa: ASWARA Hidupkan Semula FFVPM14 Selepas Menanti 13 Tahun

Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) melakar detik bersejarah apabila secara rasminya menghidupkan semula Festival Filem Video Pelajar Malaysia Ke-14 (FFVPM14) setelah kali terakhir mencetuskan fenomena dalam kalangan pembuat filem muda. Penganjuran edisi ke-14 ini diterajui oleh Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem ASWARA dengan dokongan erat daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Mengusung tema megah “Manifestasi Madani, Mahakarya Gergasi”, temasya berprestij ini dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 13 November 2026 di Dewan Kuliah Utama serta Panggung Eksperimen, ASWARA.

Kebangkitan semula platform ini membuktikan sambutan luar biasa apabila berjaya mengumpulkan sebanyak 177 penyertaan daripada 35 institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah di seluruh pelosok negara. Sebanyak 22 kategori dipertandingkan, merangkumi lima anugerah teras iaitu Anugerah Keseluruhan, Filem Pendek Terbaik, Filem Dokumentari Pendek Terbaik, Filem Animasi Pendek Terbaik serta Video Muzik Terbaik, di samping dua kategori khas iaitu Anugerah Bakat Muda dan Anugerah Khas Juri.

Rektor ASWARA, YBhg. Datuk `Ainu Sham Haji Ramli menekankan bahawa FFVPM bukan sekadar sebuah acara tahunan, sebaliknya menjadi landasan ampuh dalam mencabar keberanian generasi pelapis untuk mengetengahkan naratif baharu. Bagi beliau, penerimaan 177 karya mencerminkan kepelbagaian sudut pandang anak muda yang matang dan wajar diangkat ke medan yang lebih berprestij.

Menariknya, karya-karya terbaik daripada festival ini turut mendapat laluan siaran di platform penstriman RTM Klik menerusi kolaborasi strategik bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ini memberi ruang capaian lebih luas melangkaui tembok kampus.

Malam kemuncak pada 13 November kelak bakal dimeriahkan dengan kepulangan barisan alumni tersohor seperti Floor 88, Amirul Affendi, Ariff Zirkarnain, Aiman Arif (Pemenang Editor Terbaik FFM34), Zulin Aziz dan Kai Hassan. Kemuncak majlis anugerah boleh ditonton secara penstriman langsung di saluran Facebook rasmi ASWARA dan FINAS bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam.