Kumpulan nasyid popular tanah air, Inteam, kembali dengan buah tangan terbaru berjudul “Satukan Kami Di Syurga”, sebuah karya istimewa ciptaan komposer prolifik Farouk Roman dengan lirik menyentuh jiwa hasil tulisan personaliti TV dan penulis terkenal, Fedtri Yahya. Farouk Roman, yang sinonim dengan deretan karya hit bersama artis seperti Khai Bahar, Hazama dan Dato’ Siti Nurhaliza, hadir dengan sentuhan baharu dalam genre nasyid kontemporari melalui kolaborasi ini.
Inteam meluahkan rasa teruja dapat bekerjasama dengan Farouk Roman, menyifatkan lagu ini sebagai sebuah kelainan dalam perjalanan seni mereka. Hazamin berharap lagu ini mampu menjadi fenomena dan dekat di hati pendengar, manakala Syah menyifatkannya sebagai karya universal yang mudah diterima dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Rahim optimis bahawa lagu ini mempunyai potensi besar untuk menjadi popular kerana ia membawa nafas baharu buat kumpulan itu. Hisyam pula menegaskan bahawa lagu ini bukan sekadar sebuah karya, tetapi perlu disampaikan dengan rasa dan keikhlasan mendalam.
Menambah nilai istimewa, muzik video “Satukan Kami Di Syurga” menampilkan pasangan selebriti Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersama anak-anak mereka. Penampilan ini menandakan kemunculan semula pasangan itu dalam muzik video Inteam selepas pembabitan mereka dalam MV “DIA” pada tahun 2019. Norman Hakim menyatakan rasa syukur dapat kembali bekerjasama dengan Inteam, menyifatkannya sebagai momen menyentuh hati.
Lagu ini membawa mesej kasih sayang, pengharapan dan doa agar dipertemukan kembali di syurga bersama insan tersayang—menjadikannya relevan dalam dunia penuh cabaran hari ini. “Satukan Kami Di Syurga” boleh ditonton di saluran YouTube Inteam Digital dan didengari di semua platform penstriman digital bermula 6 November 2025.













