Memasuki fasa baharu dalam perjalanan seninya, penyanyi muda Adrianna Cinta kembali mencuri perhatian dengan single terbaharunya berjudul “Impiana”, diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia. Selepas kemunculannya melalui lagu “My Baby” yang memperlihatkan sisi romantik dan lembut, Cinta kini membawa pendekatan lebih matang, reflektif dan penuh emosi. Impiana, ciptaan Syaizul Amal dengan lirik oleh Ain Maisarah serta diterbitkan oleh Farouk Roman, berjaya memaparkan kekuatan vokal dan kejujuran penyampaian Cinta dalam menterjemahkan perasaan yang ingin disampaikan.
Impiana mengetengahkan tema impian palsu dan realiti kehidupan yang sering diselindungkan oleh keindahan luaran. Cinta menjelaskan bahawa lagu ini membawa mesej tentang kebenaran hidup, di mana setiap keindahan yang dikejar selalunya menuntut pengorbanan serta perjalanan yang tidak mudah. Baginya, karya ini menjadi ruang untuk meluahkan sisi kehidupan yang kadang-kadang sukar diterima, namun di celah kesukaran itu tetap wujud perkara kecil yang wajar disyukuri.
Antara bahagian lirik yang paling signifikan ialah baris “The grass is greener on the other side”, yang turut mencerminkan perjalanan kariernya sebagai pendatang baharu dalam industri muzik. Menurut Cinta, pengalaman sebagai artis muda membolehkannya melihat sendiri bahawa apa yang kelihatan indah daripada jauh tidak semestinya bebas cabaran. Setiap pencapaian yang diraih datang melalui proses yang sukar, dan walaupun kejayaan memiliki sisi indah, ia tetap hadir bersama durinya.
Bagi mendapatkan suasana jiwa yang lebih jujur dan mendalam, sesi rakaman Impiana diadakan pada jam 1 pagi atas cadangan penerbit Farouk Roman. Cinta berkongsi bahawa beliau diminta tidur terlebih dahulu sebelum bangun untuk merakamkan lagu itu agar mendapat tona suara yang lebih ‘raspy’ dan mood yang lebih natural. Proses tersebut menjadi antara pengalaman unik dalam kerjayanya kerana ia membantunya menyampaikan emosi lagu ini dengan lebih tulus dan tidak dibuat-buat.

Walaupun membawa nada melankolik, Impiana turut menekankan nilai kesyukuran sebagai tunjang kehidupan. Cinta percaya bahawa tanpa rasa syukur, seseorang mudah hilang arah dan terus mengejar sesuatu tanpa henti sehingga memberi tekanan kepada diri sendiri. Dengan memahami nilai syukur, seseorang dapat menghargai usaha kecil yang akhirnya membawa kepada pencapaian besar.
Dalam menghadapi dunia hiburan yang penuh dengan perbandingan dan tekanan, Cinta mengingatkan dirinya bahawa perjalanan setiap individu tidak sama. Baginya, apa yang penting ialah terus melangkah walaupun perlahan, kerana berhenti hanya membuatkan kita ketinggalan. Selagi hala tuju jelas dan langkah tidak terhenti, kejayaan akan datang pada waktunya.
Sebagai artis yang masih berkembang, Cinta berharap Impiana mampu menjadi penguat semangat kepada generasi muda dalam mengejar impian dengan cara yang realistik dan membumi. Baginya, setiap impian besar perlu bermula dengan kejayaan kecil yang harus dihargai, dan rasa syukur menjadi tanda kemajuan yang sebenar. Cinta turut berharap lagu ini dapat menyentuh hati pendengar dan mengajak mereka merenung kembali makna kebahagiaan yang sebenar, yang datang daripada kejujuran serta penghargaan terhadap diri sendiri.
Single “Impiana” kini boleh didengarkan di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer bermula 31 Oktober 2025.