Penyanyi bervokal hebat, Ernie Zakri kembali dengan sebuah karya penuh jiwa berjudul “Perjalanan”, hasil kolaborasi istimewa bersama komposer dan produser tersohor Indonesia, Andi Rianto. Dengan lirik yang ditulis sepenuhnya oleh Ernie dan komposisi muzik oleh Andi, lagu ini menyatukan penceritaan peribadi dengan melodi yang menyentuh emosi, menggambarkan perjalanan hidup dua insan seni yang telah melalui pelbagai cabaran dalam industri muzik.
“Perjalanan” bukan sekadar sebuah lagu balada, tetapi refleksi jujur tentang suka duka, ketabahan dan pertumbuhan yang membentuk diri mereka hari ini. Menurut Ernie, idea lagu ini muncul ketika sesi awal perbincangan mereka. “Andi minta saya tulis apa yang saya rasa. Dari situ kami kembali mengenang perjalanan hidup masing-masing. Lirik ini lahir daripada pengalaman sebenar,” katanya.
Bagi Andi, inspirasi utama lagu ini adalah keperibadian dan perjalanan Ernie sendiri. “Ernie sudah melalui banyak hal dalam industri. Saya rasa ini masa yang tepat untuk dia menyanyikan lagu seperti ‘Perjalanan’,” ujarnya. Proses penciptaan lagu berlaku sangat spontan—melodi hadir dengan mudah, konsep disusun secara natural, dan kedua-duanya berkongsi visi yang sama sejak awal.
Meskipun sentuhan muzik Andi Rianto sangat kuat, Ernie menegaskan identitinya tetap menjadi tunjang utama. “Walaupun ada elemen Andi, vibe itu tetap Ernie Zakri. Itu tidak berubah,” jelasnya. Kerjasama mereka juga berlaku dengan sangat lancar kerana Andi memberi Ernie kebebasan penuh untuk menulis kisahnya sendiri, menjadikan lagu ini bersifat sangat peribadi dan tulus.
Ernie berharap “Perjalanan” dapat memberikan ruang buat pendengar merasa difahami. “Setiap daripada kita ada perjalanan sendiri—ada susah, ada senang. Tapi sentiasa percaya ada sinar di hujung jalan. Dan sentiasalah berbuat baik,” luahnya.
Sebagai produser, bagi Andi elemen paling penting adalah vokal Ernie. “Dia bukan sahaja hebat sebagai penyanyi, tetapi sebagai penulis lirik. Feeling yang dia bawa itu sangat kuat,” katanya.
Selepas “Perjalanan”, Ernie merancang untuk mengadakan fan meeting yang memberi peminat peluang menikmati karya-karyanya secara lebih dekat, termasuk lagu baharu. Lebih istimewa, “Perjalanan” turut dipilih sebagai OST rasmi drama TV3, Cinta Anak Lorong, di mana vokal Ernie yang penuh emosi dijangka menjadi pelengkap kuat kepada penceritaan drama tersebut.
“Perjalanan” kini boleh didengarkan di semua platform digital.