Penyanyi tersohor negara, Liza Hanim kembali dengan sebuah balada penuh penghayatan berjudul Jeda Derita, single kedua beliau bersama Alternate Records selepas Sejuta Maaf.
Lagu ini menjadi OST kepada drama terbaharu slot Akasia TV3, Sumpah Ibuku, dan menampilkan gabungan istimewa antara Liza Hanim dan penyanyi terkenal, Tomok sebagai komposer, bersama Fedtri Yahya selaku penulis lirik.
Mengangkat tema kesetiaan dalam penderitaan, kekuatan jiwa dan pergolakan emosi seorang wanita yang dikhianati, Jeda Derita hadir dengan melodi mendalam dan lirik puitis. Menurut Fedtri Yahya, lirik lagu ini dihasilkan sepenuhnya dengan menyelami perjalanan watak dalam drama tersebut. Beliau menyatakan bahawa setiap jiwa dan derita watak harus difahami bagi memastikan impak emosinya tepat dengan jalan cerita.
Tomok pula melihat kekuatan lagu ini terletak pada keseimbangan antara melodi meruntun hati, lirik puitis dan vokal bertenaga Liza Hanim. Katanya, Liza benar-benar menghayati setiap bait lirik seolah-olah merasai sendiri penderitaan tersebut, hingga membuatkan beliau menangis sewaktu sesi rakaman.
Bagi Liza Hanim, peluang menyanyikan lagu ini adalah satu penghormatan besar. Beliau amat menghargai kepercayaan produksi dan label yang terus memilih suaranya untuk mewakili OST Sumpah Ibuku. Lebih bermakna, beliau dapat bergandingan dengan Tomok yang disifatkan sebagai titik perubahan penting dalam perjalanan seninya.
Menurut Liza, rakaman vokal mengambil masa kira-kira dua jam setengah selepas ditunda dua kali kerana masalah kesihatan. Ketika sesi rakaman, beliau meminta lampu studio dipadamkan supaya lebih fokus dan benar-benar dapat menyelami emosi lagu tersebut. Walaupun jarang menangis, Jeda Derita berjaya mengundang air mata kerana lagu ini sendiri membawa rasa kecewa dan kelelahan yang mendalam.
Walaupun proses rakaman tidak mengambil masa lama, penghayatan terhadap kisah drama tersebut menjadi kunci utama untuk menyampaikan emosi secara jujur. Liza turut meluahkan keterujaannya untuk bekerjasama lagi dengan Tomok, yang dilihat sebagai seorang komposer dan penerbit dengan visi jelas serta potensi besar.
Menurut Liza lagi, kelainan utama lagu ini terletak pada penyampaian rasa yang begitu kuat, bukan sahaja dari aspek drama tetapi juga perjalanan peribadi antara dirinya dan Tomok sejak zaman mereka di syarikat rakaman hingga kini menghasilkan karya bermakna ini. Beliau percaya pendengar akan dapat merasai tangisan, kelelahan dan jeda dalam penderitaan yang cuba disampaikan.
Dengan vokal hebat Liza Hanim serta sentuhan puitis Fedtri Yahya, Jeda Derita dijangka menjadi antara balada paling emosional yang pernah dipersembahkan oleh beliau dalam beberapa tahun ini.
Jeda Derita kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify.
Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti media sosial rasmi mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.











