“Hanya Doa” Kembali Hidup dalam Sentuhan Suara Mohderzam

Awang BPR, komposer berpengalaman dalam industri muzik yang popular dengan lagu-lagu ciptaannya seperti Segalanya Ku Terima (Illusi), Hanya Padamu (Qiara) dan Umpama Mimpi Dalam Mimpi (Damasutra), kembali dengan karya baharu yang dinyanyikan semula oleh Mohderzam dan akan dipasarkan di Aceh serta Malaysia. Lagu Hanya Doa merupakan nyanyian asal Achik Ukays yang membawakan karya ini pada tahun 2021. Apabila didengarkan kepada produser Mohderzam, Suryadi, beliau terus meminati lagu ini dan berhasrat untuk merakamkannya semula dalam versi Mohderzam dengan susunan muzik baharu yang lebih segar serta sesuai dengan trend pasaran semasa yang cenderung kepada lagu-lagu galau.

Mohderzam yang berasal dari Suak Raya, Aceh mula dikenali selepas kejayaan lagu Hanle Merindu pada tahun 2022, yang menjadi antara lagu hits di pasaran Aceh. Beliau terus mengukuhkan nama dengan membawakan semula lagu legendaris Payong Hitam dalam versi moden yang mendapat sambutan hangat. Selain aktif dalam dunia muzik, Mohderzam juga aktif di media sosial seperti Instagram, TikTok dan YouTube.

Menurut Mohderzam, beliau berasa bangga diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu Hanya Doa yang mempunyai makna mendalam, lebih-lebih lagi kerana ia merupakan karya ciptaan Awang BPR, seorang komposer terkenal tanah air. Lirik lagu ini pula ditulis oleh I. Kay. Versi baharu ini dinyanyikan dengan penuh jiwa dan nuansa Aceh oleh Mohderzam yang memiliki suara syahdu serta sarat emosi, tanpa menghilangkan keaslian dan kekuatan mesej asalnya.

Awang BPR menjelaskan bahawa kekuatan sesebuah lagu terletak pada irama dan penyampaiannya. “Irama dan lagu sentiasa seiringan. Kekuatan sebuah lagu adalah pada melodi dan dendangan penyanyi yang bersatu dengan jiwa lagu itu. Semoga Hanya Doa menjadi siulan semua pendengar dan diputarkan di semua platform media,” katanya.

Penulis lirik, I. Kay turut berkongsi harapan agar lagu ini terus hidup di hati pendengar. “Dendangkanlah Hanya Doa dengan keikhlasan. Biarkan ia kekal di sanubari pendengar kerana lagu yang ‘bernyawa’ bukan sekadar bait perkataan semata-mata. Semoga Erzam terus berjaya membawa Hanya Doa menjadi karya yang indah dan abadi di jiwa peminat,” ujarnya.

Sebagai label rakaman, Luncai Emas sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama yang dapat memperluas karya muzik melintasi sempadan negara. Muhammad Cut Adek, Pengarah Urusan Haba Music di Aceh, turut menyatakan bahawa kehadiran Mohderzam di Malaysia merupakan langkah penting dan mampu menjadi batu loncatan yang baik. Penyanyi kelahiran Aceh Barat ini diyakini berpotensi mengulangi sejarah seniman berdarah Aceh seperti P. Ramlee dan Bob Rizal.

Diharapkan melalui kerjasama ini, lagu Hanya Doa dapat diterima baik di Malaysia dan Aceh, sebagaimana karya tempatan lain ciptaan komposer tersohor seperti M. Nasir, Pak Ngah, Saari Amri dan LY. Untuk video muzik Hanya Doa, Mohderzam memilih lokasi penggambaran di Gampong Atong, Aceh Besar, yang terkenal dengan pemandangan sawah hijau bertingkat dan jalan berliku yang pernah tular di media sosial.

Menurut Mohderzam, masih ada beberapa single baharu yang sedang dalam proses penerbitan dan dijangka dilancarkan dalam tahun ini juga. Kerja rakaman audio dan video Hanya Doa telah dijalankan sepenuhnya di Aceh, Indonesia. Lagu ini telah dirilis di semua platform penstriman digital pada 10 Oktober, manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Luncai Emas.