Hujung tahun ini bakal menjadi lebih meriah apabila warga Lembah Klang disajikan dengan sebuah festival makanan dan hiburan berskala besar menerusi penganjuran GF GALAU Food Festival (GFF) oleh Gold Field Holding Sdn. Bhd. Acara ini akan berlangsung selama lima hari bermula 27 hingga 31 Disember 2025 di Setia Alam Convention Centre, Selangor, dan dijangka menarik kehadiran puluhan ribu pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Festival yang julung kali diadakan ini mengetengahkan konsep gaya hidup moden yang dipadukan dengan elemen hiburan, sajian makanan dan aktiviti kekeluargaan dalam satu lokasi. Setia Alam dipilih sebagai lokasi utama kerana kedudukannya yang strategik serta menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah dan bersantai setiap hujung minggu.
Menurut Pengurus Acara Gold Field Holding Sdn. Bhd., En. Azlisham Yusof, GF GALAU Food Festival diwujudkan untuk memperkukuh ekosistem industri makanan tempatan di samping memberi ruang kepada pengusaha kecil dan sederhana menonjolkan produk serta jenama mereka kepada khalayak yang lebih luas. Katanya, festival ini bukan sahaja menjadi medan promosi, tetapi juga satu bentuk apresiasi terhadap keunikan budaya makanan tempatan dan antarabangsa.

Beliau menambah, sasaran kehadiran antara 30,000 hingga 40,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjuran dijangka dapat dicapai menerusi pelbagai aktiviti yang dirancang. Suasana festival akan dipenuhi aroma makanan dari pelbagai gerai tempatan dan antarabangsa, persembahan muzik secara langsung, pameran produk gaya hidup serta pertunjukan bunga api sempena sambutan tahun baharu.
Kemeriahan acara akan digandakan lagi dengan persembahan artis-artis terkenal tanah air termasuk Kristal, Ways, Exceed, Keena Mentor dan Arca Band yang dijangka menghiburkan pengunjung setiap malam. Tidak ketinggalan, pihak penganjur turut menyediakan cabutan bertuah istimewa dengan pelbagai hadiah menarik seperti dua unit Scooter EVBike, satu unit Sony PlayStation 5, satu unit penghawa dingin, satu unit televisyen 50 inci serta hamper eksklusif untuk dimenangi.
Festival ini akan berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam setiap hari. Malam penutup pada 31 Disember dijangka menjadi kemuncak sambutan tahun baharu di Lembah Klang dengan pertunjukan bunga api yang menakjubkan dan suasana penuh keceriaan.
GF GALAU Food Festival bukan sekadar pesta makanan, tetapi satu platform sosial yang menyatukan masyarakat dalam suasana santai, mesra dan penuh warna. Ia membawa mesej tentang kepelbagaian cita rasa, keindahan budaya serta semangat komuniti yang diraikan menjelang lembaran baharu tahun 2026. Sesiapa yang berminat untuk membuka booth atau jika terdapat sebarang pertanyaan boleh hubungi Sha di talian 0183256339.