Aura Remy Ishak sebagai “Hero Pujaan Malaya” nyata tidak pernah pudar. Pelakon berkarisma ini sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila kembali ke layar perak dengan watak penuh misteri dan emosi dalam filem seram terbaharu berjudul Qifarah. Dikenali sebagai pelakon versatil yang mampu menjiwai pelbagai karakter, kemunculan Remy kali ini memperlihatkan sisi dirinya yang lebih matang dan mendalam.
Kembalinya Remy bukan sekadar kemunculan biasa, tetapi tanda bahawa kekuatannya sebagai pelakon masih utuh dan relevan. Beliau terus menjadi pilihan utama penerbit dan pengarah untuk membawa watak hero yang penuh jiwa, mengukuhkan lagi statusnya sebagai antara pelakon terbaik dalam industri seni tanah air.
Dalam Qifarah, Remy membawa watak Yusoff, seorang lelaki yang pulang ke tanah air selepas bertahun-tahun menetap di Kaherah bersama isteri dan anaknya. Kepulangannya ke rumah pusaka demi menjaga ayah yang tenat telah membuka semula lembaran kisah silam yang gelap. Namun, di sebalik kepulangan itu, tersimpan rahsia lama dan kuasa jahat yang mula menghantui keluarganya.
Watak Yusoff digambarkan sebagai seorang lelaki yang berperang dengan masa lalunya. Di sebalik ketenangan wajahnya, dia menyimpan trauma dan rasa bersalah yang mendalam. Ketika berdepan misteri dan gangguan yang semakin menggugat kewarasan, Yusoff tetap tampil sebagai suami dan bapa penyayang yang sanggup berkorban untuk melindungi insan tersayang.

Bagi Remy, watak ini memberi peluang kepadanya untuk keluar daripada zon selesa. “Sudah lama saya tidak membintangi filem seram. Tetapi apabila membaca skrip Qifarah, saya tertarik dengan karakter Yusoff yang memiliki intensiti tinggi. Ceritanya gelap, seram dan penuh misteri sebab itu saya teruja untuk terlibat dalam projek ini,” ujar Remy.
Menariknya, sepanjang penggambaran, Remy turut berkongsi pengalaman menyeramkan yang dialaminya di lokasi. “Kami menjalani penggambaran selama dua setengah minggu di sebuah rumah lama. Satu malam, ketika saya sedang menunaikan solat di tingkat atas, saya ternampak kelibat seseorang memakai baju batik. Saya sangka itu kru, tapi esoknya baru tahu rumah itu memang ‘keras’,” katanya sambil tersenyum.
Qifarah kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara. Jangan lepaskan peluang menyaksikan lakonan mantap Remy Ishak yang kembali mencabar dirinya dalam genre seram menentang kegelapan yang menghantui jiwa dan keluarganya.