AMT2025: Semua Mata Tertumpu kepada Pasangan Bass Kemenangan Pertama di Hujung Jari?

Menjelang kemunculan Syed Saddiq dan Bella Astillah di pentas Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025), pasangan sensasi ini yang digelar BASS terus menjadi bualan hangat. Berbeza daripada kebanyakan pasangan selebriti yang terpalit dengan kontroversi, mereka meraih sokongan ramai dengan sikap bersahaja dan aura semula jadi yang menyenangkan. Gelaran ‘vitamin BASS’ yang diberikan oleh peminat mencerminkan penerimaan positif terhadap pasangan ini.

Kategori Selebriti Couple Goals Terhangat tahun ini menampilkan nama-nama besar seperti Fattah dan Amira, Syafiq dan Mimi, Dini dan Janna, serta Nabil dan Ayda. Namun, keserasian unik antara Bella dan YB Saddiq menjadikan mereka tumpuan utama. Gurauan spontan dan hubungan yang tampak selesa di antara mereka menjadikan pasangan ini calon terkuat untuk membawa pulang anugerah tersebut.

Gandingan dua dunia berbeza, politik dan hiburan, bukan halangan untuk mereka tampil serasi. Syed Saddiq yang dikenali dengan karisma sebagai ahli politik muda dan Bella Astillah yang lama bertapak dalam dunia hiburan membentuk satu pasangan yang dianggap melengkapi antara satu sama lain. Keserasian mereka bukan sekadar di mata, tetapi dirasai oleh peminat seluruh negara.

Apakah pasangan BASS bakal mencipta sejarah di malam kemuncak AMT2025? Segalanya bakal terjawab pada 3 Ogos 2025. Jangan lepaskan detik gemilang ini di Anugerah Melodi Terhangat 2025, sebuah malam yang menghimpunkan prestasi hebat, sensasi panas dan bakat tanah air dalam satu acara berprestij.

Ikuti perkembangan lanjut di semua saluran media sosial rasmi TV3 – Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube di @TV3Malaysia. – Tehtariktimes