Didi & Friends Pecah Rekod Bersama Si Cilik: Story Time Pupuk Cinta Buku Sejak Usia Muda

Watak animasi kegemaran kanak-kanak, Didi & Friends, telah mencipta momen bersejarah apabila berjaya mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records sebagai penyandang rekod “Penyertaan Kanak-Kanak Teramai dalam Acara Penceritaan”. Seramai 2,172 kanak-kanak telah menyertai sesi penceritaan mega ini yang berlangsung penuh warna-warni di MAEPS, Serdang.

Acara tersebut merupakan kolaborasi bersama Al-Kauthar Eduqids sempena Karnival Sukan Al-Kauthar Eduqids with Friends 2025. Ia bukan sahaja menggabungkan elemen pembelajaran dan keseronokan, malah turut mengukuhkan semangat kekeluargaan dan komuniti. Sesi penceritaan bermula dengan kisah klasik “Arnab & Kura-Kura” yang disampaikan oleh seorang guru, sebelum dihidupkan semula dalam versi Didi & Friends oleh hos ceria, Abang Pa’an.

Walaupun rekod rasmi mencatatkan 2,172 penyertaan serentak, sesi penceritaan ini sebenarnya diteruskan sepanjang hari dengan jumlah keseluruhan kanak-kanak yang mengambil bahagian mencecah lebih 6,000 orang. Tidak ketinggalan, kehadiran lebih 20,000 pengunjung termasuk ibu bapa dan keluarga turut memeriahkan Dewan C, MAEPS, menjadikan acara ini antara sambutan paling meriah tahun ini.

Kejayaan ini juga menandakan pelancaran rasmi kempen Didi & Friends Story Time, sebuah inisiatif yang bertujuan menggalakkan budaya membaca sejak kecil. Kempen ini juga dibawa ke pentas kebangsaan sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2025 di Pulau Pinang, di mana peminat berpeluang bertemu dengan maskot kegemaran mereka dalam suasana penuh ceria dan mesra.

Menurut Edison Cheam, Penolong Kanan Naib Presiden Studio GenNext, Astro, “Kami di Astro komited menyemai minat membaca dan semangat belajar dalam kalangan kanak-kanak. Menerusi Didi & Friends, kami ingin terus menyampaikan nilai-nilai positif dan mencorak tabiat murni untuk masa depan generasi muda.”

Pencapaian ini membuktikan bahawa penceritaan bukan sekadar hiburan ia juga adalah medium berkuasa untuk menyatukan masyarakat dan menggalakkan pembelajaran secara menyeronokkan. Ia juga memperlihatkan kekuatan jenama tempatan seperti Didi & Friends dalam membina impak besar terhadap perkembangan awal kanak-kanak.

Didi & Friends Story Time boleh ditonton setiap hari Jumaat, jam 11 pagi di Astro Ceria (saluran 611), dan juga tersedia secara On Demand di Astro GO serta sooka. Pelanggan boleh melanggan Pek Astro One pada harga RM49.99 sebulan, atau menikmati penstriman lebih lancar dengan naik taraf ke Astro Fibre 500Mbps dan Pek Entertainment hanya RM139.99 sebulan.

Untuk maklumat lanjut atau melanggan, layari www.astro.com.my atau WhatsApp “Hi” ke 03-9543 3838. – – Tehtariktimes