Pentas seni tanah air bakal digegarkan dengan Konsert Legasi P. Ramlee yang akan berlangsung pada 20 September 2025 (Sabtu) di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur. Tiket rasmi kini boleh dibeli menerusi laman www.ticket2u.com.my/legasipramlee.
Lebih istimewa, konsep susun atur tempat duduk kali ini mengambil inspirasi daripada watak-watak ikonik filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, memberikan pengalaman yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi penuh sentimental. Penonton akan dibawa mengembara ke dalam dunia sinematik legenda ini sebaik sahaja melangkah masuk ke dewan.
Enam kategori tiket ditawarkan dengan harga berbeza mengikut watak ikonik yang mewakili setiap zon. Kategori VIP dinamakan sebagai Nyonya Mansoor berharga RM1,488, diikuti Diamond – Kassim Selamat (RM1,088), Platinum – Abang Jamil (RM888), Gold – Sarjan Hassan (RM688), Silver – Abdul Wahub (RM488), dan Bronze – Pak Maon (RM288). Selain itu, potongan istimewa sebanyak 10% turut ditawarkan kepada 1,000 pembeli terawal bermula 26 Jun hingga 6 Julai 2025.

Konsert berskala besar ini turut menampilkan 60 pemuzik orkestra profesional di bawah pimpinan empat nama besar industri muzik Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen. Pentas juga bakal diserikan oleh gabungan artis lagenda dan bintang baharu seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, Liza Hanim, Mimi Fly dan Nadeera.
Menurut Adlin Aman Ramlie, selaku Pengarah Artistik dan Penerbit Eksekutif, setiap zon tempat duduk direka dengan tema khas bagi menyampaikan naratif berbeza yang pernah dibawa P. Ramlee dalam filem-filemnya. “Ia lebih daripada sebuah konsert ini adalah penghormatan yang disampaikan melalui penceritaan, visual, dan muzik yang menyentuh hati.”
Konsert Legasi P. Ramlee merupakan sebahagian daripada Projek Perdana P. Ramlee hasil kerjasama antara TanahAir Films dan 360 Entertainment. Usaha ini turut mendapat sokongan penuh daripada agensi kerajaan termasuk Arkib Negara Malaysia, FINAS, Kementerian Komunikasi Malaysia, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Istana Budaya. Penaja rasmi termasuk PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur, Maya Restaurant dan Patriots Asia Sdn. Bhd. Untuk berita lanjut serta kandungan eksklusif, ikuti @konsertlegasipramlee di Facebook, Instagram dan TikTok. – Tehtariktimes