Astro Shaw & Royal Selangor Perkenal Koleksi Eksklusif Keluang Man

Astro Shaw memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju kandungan hiburan tempatan menerusi satu kolaborasi eksklusif bersama jenama piuter bertaraf dunia, Royal Selangor, bagi menghasilkan koleksi istimewa berinspirasikan filem superhero ikonik Malaysia, Keluang Man. Usaha ini bukan sekadar satu kerjasama biasa, malah ia mencerminkan satu visi bersama untuk mengangkat nilai harta intelek (IP) tempatan ke tahap lebih tinggi. Buat julung kalinya, dua jenama ternama ini bergabung tenaga menghasilkan koleksi istimewa yang memadukan elemen seni kraf warisan dengan kekuatan naratif tempatan.

Koleksi ini menampilkan figurin miniatur dan pin eksklusif yang direka khas oleh tukang piuter mahir Royal Selangor. Dengan kemasan satin dan perincian yang begitu teliti, figurin Keluang Man dipersembahkan dalam gaya aksi ‘bersilat’ yang melambangkan keberanian dan keunikan watak tersebut. Diperbuat daripada piuter berkualiti tinggi, hanya 30 unit figurin dihasilkan secara keseluruhan, menjadikannya koleksi yang sangat terhad dan bernilai. Setiap figurin turut disertakan dengan nombor siri tersendiri serta ruang khas untuk ukiran peribadi, menambahkan lagi nilai sentimental bagi para peminat dan pengumpul.

Manakala pin lapel pula hadir dalam dua versi – satu dalam kemasan satin dan satu lagi dalam kemasan emas 24K – dengan jumlah pengeluaran hanya 100 unit keseluruhan. Reka bentuknya menonjolkan simbol ikonik Keluang Man, menjadikan ia lambang penghormatan terhadap wira rakyat Malaysia yang membanteras jenayah dalam senyap. Koleksi ini dijangka mula dipasarkan secara rasmi di outlet Royal Selangor terpilih bermula bulan Mei akan datang.