Setelah menyertai Universal Music Malaysia, penyanyi berbakat Andi Bernadee kembali menghangatkan industri muzik dengan buah tangan terbaharunya. Kali ini, Andi tampil dengan sesuatu yang berbeza – sebuah lagu Hari Raya solo pertama sepanjang kariernya! Berjudul “Inikan Hari Raya”, lagu ini dijangka menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini dengan gabungan melodi moden dan tradisional yang segar.
Mempunyai elemen catchy dan menghiburkan, lagu ini merupakan hasil ciptaan Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan Omar K, manakala liriknya pula turut mendapat sentuhan peribadi Andi sendiri bersama ketiga-tiga komposer berbakat itu. “Inikan Hari Raya” bukan sekadar lagu perayaan biasa, tetapi turut membawa mesej yang dekat di hati semua pendengar.
Berkongsi tentang perjalanan pembikinan lagu ini, Andi mendedahkan bahawa proses rakaman dilakukan dalam dua sesi berasingan. Pada sesi pertama, beliau merakamkan vokal utama sebagai demo bagi merasai mood lagu ini dengan lebih mendalam.
“Saya dan komposer banyak berbincang mengenai susunan muzik, adunan serta lirik yang terbaik untuk memastikan lagu ini benar-benar dapat memberi impak. Selepas sesi pertama, barulah kami meneruskan rakaman penuh dengan semua keputusan yang telah dimuktamadkan,” kata Andi yang mengutamakan ketelitian dalam setiap karyanya.
Menurut Andi, “Inikan Hari Raya” bukan sekadar lagu untuk berseronok, tetapi juga mengandungi unsur nasihat dan nilai kekeluargaan. Lagu ini mengisahkan perjalanan sebuah keluarga yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Syawal, lengkap dengan segala keletah serta cabaran yang sering berlaku dalam setiap persiapan Hari Raya.

“Saya percaya ramai yang dapat relate dengan kisah dalam lagu ini. Momen-momen seperti mengemas rumah, menyediakan juadah, berkumpul bersama keluarga – semuanya adalah sebahagian daripada keindahan Aidilfitri,” jelasnya.
Menghasilkan lagu berkualiti memerlukan kerjasama yang baik, dan Andi sangat menghargai setiap individu yang terlibat dalam projek ini. “Saya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja, asalkan ada keserasian dan sikap profesional. Apa yang penting ialah kita saling berbincang dan berkongsi idea untuk menjadikan lagu ini lebih sempurna,” katanya penuh semangat.
Dengan harapan agar lagu ini mampu membawa keceriaan kepada para peminat, Andi Bernadee menyeru semua untuk menikmati karya terbarunya ini. “Saya mahu pendengar benar-benar merasai, menghayati dan menikmati lagu ini, bukan sekadar mendengar. Semoga ia dapat menceriakan sambutan Aidilfitri anda!”
“Inikan Hari Raya” akan dilancarkan pada 28 Februari 2025 dan boleh didengarkan di semua platform digital. Pastikan anda tidak terlepas untuk menikmati lagu ini yang pastinya akan menjadi siulan sepanjang musim perayaan nanti!