KRU, trio ikonik dalam industri muzik Malaysia, terus mengukir nama dalam dunia seni dengan pelancaran single kedua mereka dari album “Kaset”, berjudul “One More Time”. Lagu ini menampilkan persembahan vokal yang penuh emosi, membuktikan kematangan Norman, Yusry, dan Edry dalam menyampaikan mesej melalui suara. Dengan melodi R&B yang nostalgik, “One More Time” menjadi satu lagi lambang kejayaan KRU dalam mengekalkan relevansi mereka dalam dunia muzik.
Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh KRU ini menyentuh tema kekecewaan akibat kegagalan dalam percintaan, di mana seorang individu harus menerima hakikat bahawa bekas kekasihnya bahagia dengan orang lain. Melalui lirik yang mendalam dan penuh rasa, “One More Time” mengajak pendengar untuk merenung perasaan dalam situasi yang penuh kesedihan dan ketabahan.
Selain daripada komposisi muzik yang kuat, KRU juga sekali lagi membuktikan kebolehan mereka dalam penggunaan teknologi terkini dengan memperkenalkan Digital Twin (kembar digital) mereka dalam video muzik “One More Time”. Menariknya, video muzik ini memberikan pengalaman visual yang unik di mana wajah-wajah KRU ditampilkan dalam pelbagai bentuk, daripada wajah mereka pada era 90-an, kini, hingga ke masa depan. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) ini menambah dimensi baru kepada penceritaan lagu, memberikan kesan emosional yang mendalam kepada penonton.
Menurut Kenny Ong, Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Sdn Bhd, “KRU sememangnya artis serba boleh yang bukan sahaja menguasai bidang nyanyian, penciptaan, dan penerbitan lagu, tetapi juga memanfaatkan teknologi terkini dalam menyampaikan cerita melalui muzik. Video muzik ‘One More Time’ akan memberikan impak yang mendalam kepada penonton, dan kami percaya ia akan menjadi salah satu lagu klasik KRU yang kekal relevan selama bertahun-tahun.”
Sebelum ini, KRU telah melancarkan single pertama dari album “Kaset”, berjudul “Voodoo”, yang menerima sambutan hangat bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di luar negara termasuk Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat. Muzik video “Voodoo” telah mencapai lebih 1.2 juta tontonan di YouTube dalam waktu singkat, dan menarik perhatian pengikut baru dari kalangan generasi Alpha.
Norman, mewakili KRU, mengulas, “Seperti tradisi KRU, kami sentiasa mengeluarkan lagu balada selepas single pertama yang rancak. Kami sangat teruja untuk mempersembahkan ‘One More Time’ kepada peminat kami, dan berharap lagu ini akan mendapat sambutan positif, seterusnya mengekalkan momentum untuk pemasaran album ‘Kaset’ yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.”
One More Time boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, dan YouTube Music bermula 17 Januari 2025. Untuk maklumat lanjut mengenai perkembangan terkini, ikuti akaun rasmi KRU di YouTube, Instagram, TikTok, dan Facebook.