Bintang Gegar Vaganza 11 (GV11), Liza Aziz, terus mencuri perhatian apabila sekali lagi berjaya mengekalkan kedudukan teratas pada minggu kedua pertandingan ini. Persembahannya yang penuh jiwa menyanyikan lagu “Siapa Wajah Dihatimu” nyanyian asal kakaknya, Azlina Aziz, telah membawa markah tertinggi sebanyak 74.80%. Kejayaan ini sekali gus menjadikannya juara selama dua minggu berturut-turut, membuktikan kekuatan vokalnya yang luar biasa serta kemampuannya menawan hati juri dan penonton.

Menurut Liza, dia tidak meletakkan tekanan berlebihan terhadap dirinya, sebaliknya hanya fokus memberikan yang terbaik setiap kali berada di pentas.

“Saya hanya menyanyi dengan sepenuh jiwa raga. Saya anggap persembahan itu seperti membuat persembahan biasa. Saya sangat puas hati sebab orang suka dengan persembahan saya dan Alhamdulillah, saya menang sekali lagi,” ujar Liza dengan penuh rasa syukur.

Selain Liza, beberapa peserta lain juga mempamerkan persembahan yang memukau. Dyrga Dadali berada di tempat kedua dengan markah 69.10%, manakala Sheila Abdul menduduki tangga ketiga dengan 66.30%. Kedudukan ini memperlihatkan persaingan sengit di kalangan peserta yang berlumba-lumba untuk memberikan persembahan terbaik mereka.

Berikut merupakan kedudukan dan markah peserta yang berada dalam 10 kedudukan teratas bagi minggu kedua:

No.  Penyanyi Markah
1 Liza Aziz 74.80%
2 Dyrga Dadali 69.10%
3 Sheila Abdul 66.30%
4 The Lima 64.90%
5 Ning Baizura 64.90%
6 Zehra Zambri 62.20%
7 Fairuz Selamat 60.80%
8 Illa Sabry 56.40%
9 Inka Christie 54.30%
10 Yazid Lovehunters 53.70%

Menariknya, pada minggu kedua ini, tiada penyingkiran berlaku, memberikan peluang kedua kepada semua peserta untuk terus beraksi pada minggu ketiga. Arrora Salwa berjaya terselamat daripada penyingkiran dan akan kembali berjuang di pentas GV11.

Minggu ketiga bakal menyaksikan peserta mencabar diri mereka dengan tema Ceritera, di mana setiap lagu yang dipilih perlu mencerminkan perjalanan hidup mereka. Menariknya, peserta yang berada dalam kedudukan lima teratas akan diberi kebebasan untuk memilih sama ada ingin menyanyikan lagu yang diberikan atau lagu pilihan mereka sendiri. Ini pastinya memberi ruang untuk peserta menonjolkan keunikan dan kepelbagaian interpretasi mereka di atas pentas.

GV11 terus mengekalkan kredibiliti dan standardnya dengan kehadiran juri-juri berpengalaman seperti Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang, dan Datuk Ramli MS. Mereka terkenal dengan penilaian yang teliti dan tegas, memastikan hanya persembahan terbaik yang akan diangkat di pentas GV11.

Acara ini turut dikendalikan oleh pengacara tersohor, Nabil Ahmad dan Jihan Muse, yang pastinya akan menambah warna bagi setiap episod, menjadikan rancangan ini lebih menarik untuk ditonton.

GV11 disiarkan secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam menerusi Astro Ria (saluran 104) setiap Ahad malam. Bagi mereka yang tidak sempat menonton secara langsung, rancangan ini turut boleh distrim menerusi Astro On Demand, Astro GO, dan sooka, memberikan fleksibiliti kepada penonton untuk mengikuti perjalanan GV11 di mana-mana sahaja.

Sempena Gegar Vaganza 11, Astro turut menawarkan JUALAN JIMAT BESAR dengan pakej serendah RM41.99 sebulan serta pemasangan percuma*. Ini adalah peluang terbaik bagi peminat rancangan realiti seperti GV11 untuk menikmati pelbagai kandungan menarik dengan harga berpatutan.

Jangan lepaskan peluang untuk terus menyaksikan perjalanan hebat bintang-bintang GV11 dalam merebut gelaran juara musim ini. Pastikan anda terus menyokong dan mengikuti setiap episod kerana pastinya akan ada kejutan yang menanti!