9 Diva Sabah Pukau Ribuan Penonton Melalui Konsert ‘A Night With Sumandak Stars’

Konsert A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku, anjuran Orange International Entertainment, telah mencipta satu lagi detik bersejarah apabila sembilan penyanyi wanita kelahiran Sabah bergabung tenaga memukau ribuan penonton di Zepp, Kuala Lumpur. Persembahan malam tersebut berjaya mengetengahkan bakat Marsha Milan, Azharina, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Bella Astillah, Salma, Ayu Damit, Didi Astillah, dan Wani Kayrie.

Dato’ Mohd Fadzli Idrus, Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, meluahkan rasa bangganya terhadap kejayaan ini. “Konsert ini membuktikan kehebatan bakat Sabah yang mampu mencipta impak besar dalam industri muzik tempatan. Sambutan luar biasa daripada penonton adalah penghargaan tertinggi buat semua artis yang terlibat,” katanya.

Malam itu dimulakan dengan persembahan penuh bertenaga oleh kesemua artis menerusi lagu ‘Sumandak Sabah’, yang menerima sorakan gemuruh sebaik sahaja nota pertama dimainkan. Suasana semakin hangat apabila Wani Kayrie tampil dengan lagu viral ‘Aiman Tino’, diikuti persembahan Ayu Damit menerusi ‘Hanya Di Mercu’, yang mengimbau kenangan kejayaannya dalam One In A Million musim kedua hampir dua dekad lalu.

Marsha Milan menggegar pentas dengan persembahan emosional menerusi lagu ‘Cinta’, manakala Bella Astillah dan adiknya, Didi Astillah, menonjolkan bakat generasi muda Sabah melalui lagu ‘Bermanja-manja’ sebelum Bella memukau dengan lagu ‘Tapi Bukan Denganmu’.

Nikki Palikat, Adira Suhaimi, dan Ayu Damit pula bergabung membawa lagu ‘Drama’, memukau penonton dengan aksi mempesona. Tidak ketinggalan, Salma menyanyikan ‘Aku Permata’, diikuti Adira menerusi lagu popular ‘Pujaan Hati’. Azharina, selaku Queen of Soul, menutup persembahan solo dengan rangkaian lagu ‘Rawan’, ‘Seandainya’, dan ‘Elegi Sepi’ yang memukau penonton.

Sebagai penutup yang penuh makna, kesemua artis kembali ke pentas untuk menyanyikan medley ‘Anak Kampung’ dan ‘Original Sabahan’, mencipta suasana penuh keakraban dan nostalgia, sekaligus menyatukan penonton dalam semangat Sabahan yang kuat.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin, dan Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Norlidah turut hadir memeriahkan malam tersebut. Kehadiran mereka mencerminkan sokongan padu terhadap usaha memperkasakan seni dan budaya Sabah.

Dato’ Fadzli juga optimis mengenai masa depan Orange International. “Kami komited mempersembahkan hiburan berkualiti yang memberikan impak mendalam. Kejayaan ini membuka jalan untuk lebih banyak konsert yang merangkumi pelbagai latar belakang dan genre muzik,” ujarnya.

Konsert yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya ini bakal diteruskan di Sabah tahun depan. Peminat dari Malaysia, Singapura, dan Brunei yang hadir memberi sokongan telah membuktikan bahawa seni mampu menyatukan serantau dalam semangat kekitaan.

Kejayaan ini memperlihatkan dedikasi Orange International Entertainment dalam menyediakan platform untuk muzik berkualiti dan memperkukuhkan perpaduan melalui seni. Tahniah kepada semua artis dan pasukan di sebalik kejayaan ini!