Aizat Amdan, yang sudah lama dikenali sebagai seorang penyanyi dan pencipta lagu berbakat, kini menambah satu lagi sisi unik dalam kehidupannya dengan terjun ke dunia sukan Muay Thai.
Selepas bertahun-tahun meminati seni mempertahankan diri ini, Aizat akhirnya berjaya mencabar dirinya di gelanggang buat pertama kali. “Minat saya terhadap Muay Thai bermula sejak 2015. Saya selalu terinspirasi melihat aksi peninju lagenda di gelanggang dan mula belajar asas Muay Thai sehingga jurulatih saya berkata saya sudah bersedia untuk bertarung,” jelas Aizat. Perlawanan pertamanya secara amatur telah berlangsung pada 12 Oktober, satu pengalaman baru yang tidak pernah terlintas dalam hidupnya sebelum ini.
Tidak hanya aktif dalam bidang seni dan sukan, Aizat turut kembali dengan sebuah single baru berjudul “Tegap Berdiri”. Lagu ini adalah hasil kolaborasi dengan Mel Ramlan dan Izzy Musa, diterbitkan di bawah Kasi Gegar Entertainment (KGE). Menariknya, lagu ini berkait rapat dengan perjalanan Aizat dalam dunia Muay Thai, menjadikan karya ini bukan sekadar lagu, tetapi juga suatu refleksi perjalanan peribadinya dalam menempuh cabaran.
Menjawab soalan mengenai kenapa dia lama tidak menghasilkan lagu baru, Aizat menerangkan, “Saya lebih suka mengambil masa dalam setiap rilisan lagu. Saya tidak percaya pada pendekatan menerbitkan lagu bertubi-tubi tanpa perancangan yang kukuh. Setiap lagu adalah cerita yang ingin saya kongsi, jadi saya mengehadkan diri kepada lima lagu sahaja setahun untuk memberi ruang kepada proses kreatif yang mendalam.”
Lagu “Tegap Berdiri” mempunyai makna yang mendalam dan terlahir dengan penuh ketulusan. Idea utama lagu ini sebenarnya muncul secara tidak sengaja semasa Aizat mengendalikan episod “Dari Studio Podcast” bersama Mel Ramlan dan Amar, abangnya. Menurut Aizat, “Kami berbual tentang nostalgia sukan seperti era kegemilangan bola sepak Malaysia pada tahun 1998. Dari perbualan itu, saya terfikir tentang perjalanan hidup, di mana kadangkala kita kalah, tetapi akhirnya masih perlu tegap berdiri.” Dari situ, lirik lagu ini berkembang, memberi fokus pada perjuangan hidup yang tidak selalu mudah, tetapi tetap memerlukan ketabahan.
Lagu yang bertemakan ketabahan dan kecekalan ini mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan. Proses penghasilan yang agak panjang itu disebabkan oleh keinginan Aizat untuk memastikan setiap elemen dalam lagu tersebut sempurna, terutamanya dalam genre pop yang dipadukan dengan elemen muzik “City Pop” dari Jepun. Aizat menyebut konsep ini sebagai “KL-City Pop”, gabungan antara pengaruh muzik 80-an dengan sentuhan moden dan melodi masa kini.
Untuk melengkapkan pengalaman lagu ini, sebuah video muzik (MV) berkonsepkan cereka pendek turut dihasilkan. MV tersebut menampilkan perjalanan Aizat ketika mula-mula menceburi Muay Thai – dari latihan yang sederhana sehinggalah ke perlawanan pertamanya. Aizat berkongsi bahawa pengalaman ini bukan mudah, di mana latihan yang kelihatan biasa sebenarnya penuh dengan cabaran dan memerlukan daya tahan fizikal dan mental yang tinggi. “Ramai yang anggap Muay Thai hanya tentang pukulan dan tendangan, tapi sebenarnya lebih daripada itu. Ia adalah disiplin yang melatih kesabaran dan ketahanan diri,” jelasnya.
Melalui karya ini, Aizat berharap dapat menunjukkan kepada peminat dan pendengar tentang semangat dan dedikasi yang diperlukan, bukan sahaja dalam sukan tetapi dalam setiap aspek kehidupan. “MV ini adalah gambaran perjalanan saya, yang juga merupakan pengajaran hidup bahawa cabaran itu adalah peluang untuk menjadi lebih baik. Semoga semua yang menonton MV ini dapat menghayati mesej yang saya sampaikan,” tambah Aizat.
Di sebalik nama Aizat Amdan, peminat mungkin mengenali variasi persona seperti Aizat AF dan Ai.Z, namun bagi Aizat, semuanya berakar pada prinsip yang sama – keikhlasan dalam berkarya. “Transformasi penting untuk setiap orang. Ia adalah tanda perkembangan diri, dan saya mahu peminat mengenali sisi lain diri saya yang lebih tulen. Semua yang saya lakukan adalah kerana cinta terhadap seni,” ujar Aizat.
Aizat juga berharap agar lagu “Tegap Berdiri” dapat memberikan inspirasi kepada pendengar. Lagu ini diharapkan dapat menjadi teman semangat, sama ada ketika bersenam atau pada waktu-waktu yang mencabar. “Lagu ini untuk semua yang sedang berdepan cabaran. Ingatlah untuk terus mencabar diri sendiri, walaupun jatuh, bangkit semula dan teruskan kehidupan,” pesan Aizat kepada peminatnya.
Kini, lagu “Tegap Berdiri” sudah boleh dimuat turun di iTunes dan juga dijadikan nada dering melalui semua syarikat telekomunikasi tempatan. Bagi mereka yang ingin mendengar secara atas talian, lagu ini boleh dinikmati melalui aplikasi penstriman seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music, dan YouTube Music. Manakala, video muzik rasmi lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube OfficialAizatAmdan.