Penghantar Makanan Jadi Wira Jalanan! Raja Naga Menghiasi Layar Tonton Sempena Deepavali

Raja Naga

Meneroka tema keberanian dan perjuangan hidup, Raja Naga ialah filem Tonton Original yang mengisahkan seorang penghantar makanan bernama Raja yang menjalani kehidupan penuh cabaran.

Hidupnya berubah secara drastik apabila dia menemui sebuah motosikal lama yang bukan sahaja berfungsi sebagai kenderaan, malah menyimpan kuasa misteri. Dengan motosikal ini, Raja tidak sekadar menyelamatkan dirinya daripada kepayahan hidup tetapi juga mula menjadi wira bagi masyarakatnya. Filem ini menggabungkan elemen thriller, aksi dan mistik, menjadikannya sebuah karya unik yang sarat dengan nilai kemanusiaan dan keberanian, terutamanya untuk masyarakat tempatan yang dapat berkait dengan kisah perjuangan ini.

Diarahkan oleh pengarah berpengalaman, Azizi ‘Chunk’ Adnan, dan diterbitkan oleh Razor Edge, Raja Naga bakal mula ditayangkan pada 30 Oktober 2024 sempena sambutan Deepavali. Kisah ini diolah dengan sentuhan seni budaya tempatan yang penuh warna dan akan menjadi hiburan menarik bagi seisi keluarga. Dengan cerita inspirasi yang menyentuh emosi, filem ini diharapkan mendapat sambutan sebagai pilihan terbaik untuk dinikmati sepanjang musim perayaan. Raja Naga akan membawa penonton menyaksikan perjalanan hidup seorang lelaki yang gigih bangkit daripada kesukaran untuk melindungi mereka yang disayanginya dan masyarakat di sekelilingnya.

Plot utama Raja Naga berkisarkan Raja, seorang lelaki yang melalui pelbagai kesulitan dalam hidupnya. Sebagai penghantar makanan, dia berhempas pulas menyara kehidupan ibunya yang menghidap penyakit lumpuh dan kanser. Keadaan kewangan yang kritikal memaksa Raja menggadai motosikal kesayangannya bagi melangsaikan hutang sewa rumah yang sudah lama tertunggak. Dalam saat-saat yang genting ini, Raja menerima sokongan daripada rakan-rakannya, Ali dan Bell, yang sama-sama menyumbang wang untuk membantunya membeli sebuah motosikal terpakai. Tanpa pengetahuan mereka, motosikal tersebut menyimpan sejarah mistik yang membawa Raja ke dalam dunia kuasa luar biasa.

Motosikal usang itu ternyata mempunyai roh penunggang asal yang bangkit kembali, memberi Raja kekuatan di luar jangkaan. Tidak disangka, kenderaan tersebut kini bukan sekadar alat mencari rezeki, malah simbol kuasa yang mampu mengubah nasib. Dengan anugerah ini, Raja bangkit mengharungi kehidupan dan menjalankan misi sebagai pembela keadilan yang menentang jenayah dalam komuniti. Keupayaan baru ini menjadikan Raja bukan lagi sekadar penghantar makanan, tetapi seorang wira yang tanpa nama, menegakkan kebenaran di jalanan dan membawa harapan baru kepada mereka yang memerlukan perlindungan.

Azizi ‘Chunk’ Adnan, pengarah filem ini, menjelaskan bahawa Raja Naga lebih daripada sekadar sebuah hiburan. Menurutnya, filem ini menyampaikan mesej yang kuat tentang semangat juang, keajaiban yang boleh timbul daripada keberanian, dan pengorbanan yang harus dilakukan demi keluarga dan masyarakat. “Melalui watak Raja yang dibawakan oleh Sivasanthiran, kita dapat melihat sifat kemanusiaan dan keberanian yang jarang dilihat dalam filem aksi,” ujar Azizi. Filem ini mengangkat kisah kehidupan seorang pemuda India yang melalui pelbagai cabaran demi menjaga ibunya, dan yang menggunakan kuasa luar biasa itu untuk mempertahankan masyarakat daripada anasir jahat.

Dibarisi pelakon berbakat, filem ini menampilkan Sivasanthiran sebagai Raja, watak utama yang penuh azam tetapi sering dilanda keraguan diri. Scha Elinnea melakonkan watak Sari, seorang gadis ceria dan funky yang menambah keceriaan dalam hidup Raja, manakala Hazama memainkan watak Johnny, ketua geng gelap yang penuh keangkuhan tetapi ganas. Pelakon lain termasuk Thagaraja Victor dan Wanns Ahmad, menjadikan filem ini padat dengan aksi mendebarkan, momen-momen emosi, serta elemen humor yang menghidupkan setiap babak.

Sivasanthiran berkongsi pandangannya mengenai Raja Naga, dengan mengatakan bahawa filem ini mencerminkan kisah seorang insan biasa yang mampu mencapai kehebatan melalui peluang kedua yang diberikan kepadanya. Dengan gabungan elemen aksi, thriller, dan sentuhan mistik, filem ini dijangka memberikan pengalaman menonton yang penuh kesan, sesuai dengan tema kemenangan kebaikan melawan kejahatan sempena sambutan Deepavali. Watak Raja mencuri perhatian dengan aksinya yang mendebarkan, dan filem ini membawa tema kesetiaan kepada keluarga serta keberanian yang melawan ketidakadilan sosial.

Sambutlah Deepavali kali ini dengan keunikan filem Raja Naga, eksklusif di platform Tonton. Mulai 30 Oktober 2024, filem ini boleh ditonton di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. Pengguna juga dapat menonton secara HD di Smart TV untuk pengalaman yang lebih sinematik. Untuk mengetahui perkembangan terkini serta maklumat lanjut mengenai rancangan lain, ikuti media sosial Tonton di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram dengan nama pengguna @tontonmy.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *