8TV Jasmine Project Love Musim 3 Teruskan Misi Menyemai Kisah Komuniti yang Memberi Inspirasi

Kuala Lumpur, 10 Julai 2026 — Jasmine Project Love Musim Ketiga di 8TV secara rasmi melabuhkan tirai menerusi sebuah Majlis Apresiasi yang menghimpunkan peserta program, pertubuhan kebajikan, barisan hos, rakan kerjasama serta wakil media. Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang disokong sepenuhnya oleh Jasmine Food itu sekali lagi menampilkan kisah-kisah sebenar daripada pelbagai komuniti di Malaysia, mengetengahkan cabaran kehidupan serta semangat ketabahan keluarga yang dilalui mereka.

Sepanjang 24 episod, para hos termasuk Owen Yap, Chan Wei Wei, Tan Chia Yong, Desmond Tey, Jan Chin dan Soh Chin Chuan menjelajah ke pelbagai negeri di Malaysia untuk mendekati keluarga yang berdepan dengan pelbagai cabaran. Menerusi perjalanan tersebut, mereka berpeluang mendengar sendiri kisah kehidupan setiap keluarga, memahami perjuangan yang dilalui serta berkongsi cerita mereka dengan penonton di seluruh negara.

Sokongan terhadap program ini turut diterjemahkan menerusi 8TV Project Love Fund, sebuah inisiatif di bawah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP. Menerusi dana berkenaan, sebanyak RM192,000 telah diperuntukkan bagi membantu 24 keluarga yang dipaparkan sepanjang musim ketiga, dengan setiap keluarga menerima bantuan berjumlah RM8,000. Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan program dalam memberikan sokongan yang lebih bermakna kepada komuniti yang memerlukan.

Majlis Apresiasi yang berlangsung di Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar by IHG turut menjadi ruang untuk meraikan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan musim ketiga Jasmine Project Love. Kehadiran peserta program, pertubuhan kebajikan, barisan hos, rakan kerjasama dan wakil media menjadikan majlis tersebut berlangsung dalam suasana ceria, mesra dan penuh makna.

Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk Datuk Rafiq Razali, Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad; Puan Farah Shamsudin, Pemangku Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian TV & Kandungan Media Prima; Puan Stephanie Wong, Ketua Pegawai Operasi, Media Prima Omnia, Agency Solutions; Puan Crystal Lee, Pengarah Jualan & Kerjasama Strategik, Rangkaian TV & Kandungan Media Prima; Puan Wong Yee Lee, Ketua 8TV; Encik Alan Kwong, Ketua Pegawai Operasi, Jasmine Food; Puan Kow Ai Nah, Ketua Pemasaran, Jasmine Food serta Encik Farhan Hafetz, Ketua Pembangunan Perniagaan, Tradewinds (M) Sdn. Bhd.

Sebagai penghargaan kepada pihak yang memainkan peranan penting di sebalik tabir, sesi penyampaian sijil turut diadakan bagi mengiktiraf sumbangan pelbagai pertubuhan kebajikan yang membantu menjayakan program tersebut. Antara organisasi yang menerima penghargaan termasuk Pertubuhan Kebajikan Kasih Sayang Dan Jagaan Malaysia, Rumah Charis, Tasputra Perkim, ORKIDS (Persatuan Kebajikan Anak-Anak Istimewa Selangor), Persatuan Rumah Caring Kajang Selangor, Persatuan Kebajikan Talian Hayat Kehidupan Malaysia, CCEP Foundation dan Pertubuhan Makanan Kebahagiaan (Blisstifood).

Dengan pendekatan yang mengangkat kisah sebenar dan dekat dengan kehidupan masyarakat, Jasmine Project Love Musim Ketiga terus membuktikan bahawa penceritaan yang ikhlas mampu menyentuh hati serta mewujudkan kesedaran terhadap realiti yang dihadapi oleh komuniti di sekeliling. Program ini bukan sahaja menjadi wadah hiburan dan perkongsian kisah, malah turut membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami cabaran kehidupan orang lain serta menyemarakkan semangat keprihatinan dan saling membantu.

Bagi penonton yang ingin mengimbas kembali kisah-kisah inspirasi dan menyentuh hati yang dipaparkan sepanjang musim ketiga, episod-episod Jasmine Project Love boleh distrim menerusi platform Tonton. Program dan kandungan menarik daripada 8TV turut boleh diikuti menerusi saluran rasmi 8TV di media sosial serta platform penyiaran yang tersedia.