Lebih 200 rakan niaga berhimpun sempena Majlis Perhimpunan bersama Rakan Niaga 118 Mall yang julung kali diadakan bagi memperkukuhkan kerjasama serta merealisasikan visi menjadikan 118 Mall sebagai antara destinasi gaya hidup paling dinanti-nantikan di Kuala Lumpur.
Majlis tersebut menghimpunkan pelbagai jenama utama yang bakal menjadi sebahagian daripada pengalaman membeli-belah, gastronomi dan gaya hidup di 118 Mall. Antara rakan niaga utama yang hadir termasuk Village Grocer sebagai pasar raya premium dan Makanism Foodhall, sebuah destinasi makanan dan minuman seluas 44,000 kaki persegi yang mengetengahkan warisan kulinari Malaysia.

Barisan jenama fesyen dan gaya hidup seperti adidas, ALDO, Converse, Foot Locker, Guess, Lacoste dan Benjamin Barker turut menjadi sebahagian daripada penyewa yang bakal memenuhi pelbagai keperluan pengguna.
Dari segi makanan dan minuman, pengunjung boleh menikmati pelbagai pilihan menerusi jenama seperti CHAGEE Signature, Honolu Ramen, Masala Mansion, Donkai dan Nara Thai yang menawarkan pengalaman kulinari tempatan dan antarabangsa.
118 Mall turut menampilkan jenama yang memenuhi keperluan seisi keluarga termasuk Babyshop, Best Denki, BookXcess, Happikiddo dan Maybank Premier Banking.
Sebagai usaha menyokong usahawan tempatan, aras tiga 118 Mall akan menempatkan Malaysian Artisan District (M.A.D), yang menghimpunkan jenama tempatan seperti Banglo 289, Batik Boutique, Bayu Somerset dan Cookiecrumbs. Inisiatif ini mencerminkan komitmen 118 Mall dalam mengangkat kreativiti, seni dan keusahawanan Malaysia.
Majlis tersebut turut menjadi platform kepada pihak pengurusan untuk berkongsi perkembangan terkini mengenai presint Merdeka 118 serta ekosistem bersepadu yang bakal menghubungkan pengalaman membeli-belah, hospitaliti, warisan, pelancongan dan budaya dalam satu destinasi.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad, Dato’ Ir. Ts. (Dr.) Izwan Ibrahim berkata, visi syarikat bukan sekadar membangunkan sebuah pusat beli-belah, malah membentuk sebuah ekosistem yang membolehkan pengunjung bekerja, menginap dan menikmati pelbagai pengalaman dalam satu lokasi.
Menurut beliau, kekuatan utama 118 Mall terletak pada kedudukannya dalam presint Merdeka 118 yang mampu menarik pelancong, tetamu hotel mewah, golongan profesional korporat serta komuniti setempat. Kepelbagaian pengunjung ini dijangka memberi nilai komersial yang mampan kepada semua penyewa dan rakan niaga.
Sementara itu, Ketua Peruncitan 118 Mall, Sue Wang berkata, keunikan 118 Mall terletak pada kepelbagaian pengalaman yang menggabungkan sajian makanan, fesyen, seni, reka bentuk dan budaya di bawah satu bumbung.
Beliau turut memaklumkan bahawa 118 Mall menyasarkan sehingga 22 juta pengunjung pada tahun pertama operasinya, didorong oleh kekuatan ekosistem Merdeka 118 yang dijangka menjadi antara destinasi utama di ibu negara.
Selain itu, para rakan niaga turut diberi pendedahan mengenai pelbagai inisiatif pemasaran yang bakal dilaksanakan termasuk penggunaan skrin anamorfik di Aras 4 serta ruang acara serba guna yang boleh dimanfaatkan bagi penganjuran aktiviti promosi, pengaktifan jenama dan pengalaman interaktif bersama pengunjung.
Dengan gabungan jenama antarabangsa, usahawan tempatan serta ekosistem Merdeka 118 yang menyeluruh, 118 Mall bersedia menawarkan pengalaman membeli-belah dan gaya hidup yang baharu kepada rakyat Malaysia serta pelancong dari seluruh dunia.











