Zfix, jenama tempatan yang dikenali dalam bidang pembaikan dan penyelenggaraan telefon pintar, bakal melakar sejarah menerusi cubaan mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Penukaran Bateri iPhone Terbanyak Dalam Masa 12 Jam”. Acara bersejarah ini akan berlangsung pada Ahad, 7 September 2025 bermula jam 10 pagi hingga 10 malam di cawangan baharu Zfix, Bangunan PKNS Bizpoint, Seksyen 7, Shah Alam.
Ditubuhkan pada tahun 2022, Zfix telah berkembang pesat sebagai penyedia servis yang dipercayai khususnya bagi peranti Apple. Dikenali dengan pendekatan profesional, telus dan beretika, Zfix kini bersedia menampilkan keupayaan teknikal dan operasinya di peringkat nasional. Cubaan mencipta rekod ini akan melibatkan 30 juruteknik bertauliah, 10 petugas audit, sokongan operasi, serta 5 kaunter verifikasi sah.
Dengan sasaran menukar lebih 1,000 unit bateri iPhone dalam tempoh 12 jam, Zfix bukan sahaja ingin membuktikan kecekapan operasi, malah mahu menekankan kepentingan penjagaan peranti pintar secara profesional dengan alat ganti tulen. Proses penukaran bateri akan dijalankan mengikut garis panduan MBOR dengan setiap rekod didokumentasikan secara manual, digital dan dirakam melalui video tanpa henti sebelum diaudit oleh pihak berkuasa.

Bersempena acara ini, Zfix turut menganjurkan Zfix Mobile Fest, sebuah karnival komuniti dengan pelbagai aktiviti menarik. Antara yang ditawarkan ialah pemeriksaan kesihatan telefon percuma, bengkel mini penjagaan telefon pintar, cabutan bertuah, photo booth interaktif, TikTok challenge booth, serta ruang rehat keluarga, zon kanak-kanak dan kolaborasi jenama.
Menurut Pengarah Zfix, Muhammad Zulhelmi Mohd Yusof, usaha ini bukan hanya soal angka tetapi mesej penting kepada masyarakat bahawa industri servis telefon pintar boleh dijalankan secara sah, profesional, dan diiktiraf. “Zfix Mobile Fest adalah simbol komitmen kami terhadap integriti, inovasi dan khidmat pelanggan. Kami ingin buktikan bahawa jenama tempatan juga mampu menetapkan piawaian industri pada tahap tertinggi,” ujarnya.
Zfix berharap cubaan ini mendapat pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Book of Records sekali gus mengangkat Malaysia sebagai peneraju dalam industri servis telefon pintar yang bertauliah, selamat dan diyakini.