Siapa sahaja yang ingin terluka kerana cinta? Jika diberi pilihan, mungkin tiada siapa pun mahu merasai sakit hati, terutamanya apabila melibatkan soal cinta. Namun begitu, kita tetap perlu melalui fasa “move on” yang bukan mudah untuk dilalui. Inilah yang ingin disampaikan oleh maestro muzik terkenal Indonesia, Yovie Widianto dalam single terbaharunya bersama penyanyi muda berbakat besar, Tiara Andini menerusi lagu bertajuk “Tanpa Cinta”. Menariknya, lagu ini bukanlah karya baharu sepenuhnya. Ia sebenarnya merupakan lagu popular yang pernah dilancarkan sebelum ini, namun kali ini diterbitkan semula dengan nafas segar di bawah label rakaman Universal Music Indonesia.
Menurut Yovie, lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang terluka kerana cintanya tidak berbalas. Lebih menyedihkan, insan yang dicintainya telah berpaling kepada orang lain. “Lagu ‘Tanpa Cinta’ ini menggambarkan perjuangan untuk meneruskan kehidupan dan menerima hakikat bahawa cinta itu sudah tidak dapat dimiliki. Jadi lebih baik teruskan hidup tanpa cinta,” ujar Yovie yang tidak asing lagi dengan ciptaan balada yang menyentuh emosi. Penglibatan Tiara Andini dalam versi baharu ini juga bukan sesuatu yang mengejutkan, memandangkan kedua-dua mereka pernah berkolaborasi sebelum ini. Yovie mengakui sejak awal sudah merancang agar Tiara menjadi penyanyi utama untuk versi baharu lagu tersebut, dan Tiara pula menerima pelawaan itu dengan hati terbuka.
“Saya memang sangat sukakan lagu ini. Jadi apabila ada pelawaan untuk kolaborasi, saya tidak berfikir panjang untuk menerimanya. Tambahan pula ini karya daripada papa Yovie. Walaupun ada cabaran tersendiri, saya amat berpuas hati dengan hasilnya,” kata Tiara yang semakin menyerlah dengan vokal dan penghayatan emosi dalam setiap persembahan. Dari segi susunan muzik, Yovie tidak banyak mengubah coraknya secara drastik. Namun lagu ini disusun semula dengan melodi yang lebih manis dan segar, sesuai dengan selera muzik generasi masa kini. Bagi video muzik pula, ia diberi sentuhan visual artistik dan konsep teaterikal yang menarik, diarahkan oleh Prialangga. Gabungan visual dan mesej lagu menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja indah didengar, tetapi juga menyentuh dari segi visual.
“Konsepnya sebenarnya ringkas, tetapi penyampaiannya sangat cantik dan penuh makna. Apatah lagi ada unsur tarian juga. Memang puas hati,” ujar Yovie. Melalui versi baharu “Tanpa Cinta” ini, Yovie berharap lagu tersebut dapat dinikmati oleh lebih ramai pendengar, bukan hanya sebagai sebuah lagu nostalgia, tetapi juga sebagai refleksi perasaan yang masih relevan dengan kisah cinta masa kini. “Harapan saya tentunya agar lebih ramai yang mendengarkan lagu ini. Versi asal pun sudah mendapat jumlah penstriman yang tinggi, apatah lagi sekarang dibawakan semula oleh Tiara Andini,” tambahnya.
Jangan lupa untuk menikmati kolaborasi istimewa ini di semua platform penstriman digital menerusi pautan https://lnk.to/YovieWidiantoTiaraAndiniTanpaCinta dan tonton video muzik rasminya di YouTube: https://www.youtube.com/watch?v=93YDqv3KBUs. Ikuti juga perjalanan muzik mereka di media sosial untuk perkembangan terkini ikuti Yovie Widianto di Instagram (@ywpiano), YouTube dan Twitter manakala Tiara Andini boleh diikuti di Instagram, TikTok, YouTube, Twitter dan Facebook beliau.