Yonnyboii sering tampil dengan lagu-lagu yang mengandungi pesanan mendalam. Kali ini, dia kembali dengan karya terbaru yang berjudul Nadi, yang dihasilkan dengan kerjasama istimewa bersama pemain gitar terkenal, Jobranko.
Menurut Yonnyboii, lagu ini mempunyai makna yang sangat istimewa baginya kerana ia terinspirasi dari pengalaman peribadi. Proses penciptaannya melibatkan kerjasama dengan komposer Amy Bong, dan dia yakin lagu ini mampu menyentuh hati banyak pendengar.
Bagi Yonnyboii, mengungkapkan pengalaman peribadinya melalui Nadi juga memberikan rasa lega. Baginya, banyak orang mungkin juga mengalami perasaan yang sama. “Saya ingin lagu ini dapat dirasai secara peribadi oleh pendengar. Saya menulis lagu ini tentang ketakutan dan kegelisahan yang saya rasakan ketika bertemu dengan orang baru. Saya bimbang dan segan untuk meminta pertolongan dari sesiapa. Saya harap lagu ini dapat memberi kekuatan kepada mereka yang menghadapi situasi serupa,” ujarnya.
Yonnyboii menyatakan bahawa mesej utama dalam lagu ini adalah untuk menginspirasi pendengar dengan semangat hidup. “Setiap orang pasti menginginkan kebebasan dari perasaan gelap. Lagu ini mencerminkan perjuangan saya untuk membebaskan diri dari perasaan tertentu yang menghantui saya. Pada akhirnya, saya cuba mengejar kebebasan,” katanya.
Bagi Yonnyboii, pengalaman bekerjasama dengan Jobranko adalah satu penghormatan besar. “Jobranko, seorang legenda dari kumpulan Wings, memberi kontribusi yang sangat besar dalam ‘Nadi’. Gaya permainan gitarnya memberi kehidupan baru pada lagu ini dan mengangkatnya ke tahap yang lebih tinggi. Saya sangat bangga dengan hasil gabungan dari dua generasi berbeza ini,” katanya dengan bangga.
Jobranko juga memberi pendapatnya bagi kolaborasi ini. “Sebenarnya kolaborasi ini memang sesuatu yang tidak dijangkakan. Secara jujurnya, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk beraksi dalam lagu Nadi dengan Yonnyboii. Saya sangat menghargai kerana artis muda and masih meningkat masih lagi mengenali Jobranko untuk membuat satu kolaborasi bersama- sama”.
“Saya mahu berterima kasih kepada producer Amy Bong, semua warga Universal Music Malaysia termasuk team Yonnyboii untuk kolaborasi ini” kata Jobranko, bekas anggota kumpulan WINGS.
Sudah melancarkan muzik video (MV) baru-baru ini, Yonnyboii sangat gembira dengan hasil sentuhan pengarah kreatifnya, Andrew Lim. Hakikatnya, MV itu disifatkannya cukup memuaskan.
Menurutnya, dia cuma memberikan panduan kepada Andrew bagaimana konsep diinginkan dalam kepala secara asas saja. Kepercayaan itu jelas digalas begitu cemerlang oleh pengarah terbabit.
“MV pun dilunaskan dengan begitu baik oleh Andrew dan sejujurnya saya serahkan kepercayaan itu kepadanya. Dia berjaya beri hasil yang sangat baik untuk menggambarkan isi hati saya. “Hakikatnya, Andrew yang mencipta keseluruhan jalan ceritanya. Misalnya adegan saya melarikan diri dari kontena, kenapa saya berbuat demikian, dan sebagainya. “Disebabkan lagu ini adalah sebuah karya bergenre rock jiwang, cuma beritahu mereka konsep diinginkan iaitu sesuatu yang ‘grunge’ dan rock,” katanya.
Yonnyboii turut berharap Nadi mampu mengulang kejayaan lagu-lagu terdahulunya. Dia inginkan mesej dalam lagu ini akan berjaya membekas di hati sesiapa juga. “Saya memang meletakkan harapan yang cukup besar terhadap Nadi. Semoga lagu ini akan digemari ramai dan mesej yang cuba saya sampaikan dapat menusuk hati ramai pendengar,” katanya.
Nadi boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music pada 21st Jun 2024, muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Yonnyboii pada 21st Jun 2024.