Waris, Barbarik & Cromok Siap Memukau Peminat Rock Melalui Konsert Tower of Rock

Kalendar muzik rock 2025 akan dibuka dengan sebuah konsert yang penuh bertenaga dan memukau, menyaksikan gabungan legendaris rock tanah air seperti Barbarik, Cromok, dan Waris di Konsert Tower of Rock pada 25 Januari nanti. Konsert yang dianjurkan oleh Menara Kuala Lumpur ini bakal menggema buat pertama kalinya dengan penampilan tiga band terkenal yang membawakan genre rock, metal, dan thrash heavy metal.

Konsert ini adalah hasil kerjasama antara Menara Kuala Lumpur dan FAR Worldwide sebagai penganjur, dengan Persatuan Sukan, Rekreasi & Kesihatan Kuala Lumpur (SU.RE Sihat KL) turut terlibat sebagai Rakan Rasmi Program Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) dan disokong oleh jenama kecantikan FARMASI. Pengarah Konsert dan Muzik, Man Keedal, menjelaskan bahawa Konsert Tower of Rock akan memberikan pengalaman yang berbeza dengan pertembungan antara pemuzik legenda dan generasi muda seperti Waris.

“Barbarik dan Cromok sememangnya terkenal dengan identiti masing-masing, dan kolaborasi mereka bersama Waris yang dianggap sebagai pelapis muzik rock kini akan menggegarkan pentas,” kata Man Keedal. Beliau juga menekankan bahawa konsert ini adalah platform penting untuk memperkenalkan pelapis muda seperti Waris, yang diterajui oleh anggota termuda, Adam, berusia 14 tahun, untuk meneruskan legasi rock tanah air.

Promosi konsert ini dikendalikan oleh Mewah Event Management, manakala pengurusan tiket disediakan oleh Ilasso Tickets. Tiket dijual pada harga RM188 (Silver), RM288 (Gold), dan RM388 (VIP) yang boleh didapati di laman web www.ilassotickets.com.

Konsert ini juga diumumkan sebagai pengganti kepada konsert ROXtheNATION yang terpaksa ditunda kerana masalah teknikal. “Bagi memastikan peminat tidak kecewa, kami teruskan dengan Konsert Tower of Rock, sebagai janji untuk membuka tahun 2025 dengan sebuah persembahan yang padu,” kata Man Keedal.

Sebagai tambahan, konsert ini bukan sekadar pentas muzik, tetapi juga menyokong usaha kempen kesihatan melalui kerjasama dengan SU.RE Sihat KL. “Konsert ini juga menyokong kesihatan melalui kempen Rock SU.RE Sihat, yang menyasarkan untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan kreatif di kalangan penduduk Kuala Lumpur,” tambah Man Keedal.

Dengan konsert yang berdurasi hampir tiga jam ini, penonton akan disajikan dengan tiga segmen menarik, termasuk persembahan berasingan dari setiap band, medley lagu dari Barbarik, Cromok, dan Waris, serta paduan pemain dram daripada ketiga-tiga band. Selain itu, sebanyak lima peratus hasil penjualan tiket akan disumbangkan kepada SU.RE Sihat KL untuk kempen kesihatan ini.

Konsert Tower of Rock ini dijangka menjadi sebuah acara yang tidak hanya memukau peminat muzik rock, tetapi juga menyemarakkan semangat gaya hidup sihat dan aktif di ibu kota.