Bersempena lebih lima dekad MAGGI® bersama rakyat Malaysia, program Wanita Cukup Berani (WCB) kini kembali untuk tahun keempat dengan semangat baharu dalam memperkasakan wanita. Inisiatif ini terus menjadi inspirasi kepada wanita Malaysia untuk mengenal potensi diri, mengejar impian, serta berani melangkah ke hadapan demi diri dan komuniti. Berlandaskan kepercayaan bahawa keberanian dan makanan yang menyatukan mampu mencetuskan perubahan besar, WCB terus membina jaringan sokongan yang kukuh di seluruh negara.
Diterapkan dengan semangat “Tak Kenal, Tak Cinta”, program ini bukan sekadar latihan, tetapi satu ekosistem lengkap yang merangkumi bimbingan, latihan digital dan keusahawanan, serta sokongan komuniti yang berterusan walaupun selepas tamat program. Sejak diperkenalkan, WCB telah memperkasakan lebih 4,000 wanita di seluruh Malaysia, dan kini mensasarkan untuk membantu 10,000 wanita menjelang tahun 2026, dengan matlamat melahirkan sekurang-kurangnya 20 usahawan makanan baharu.
Menurut YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, program ini selari dengan usaha kerajaan memperkasakan wanita, merapatkan jurang kesaksamaan dan meningkatkan literasi digital. Beliau turut memuji pendekatan menyeluruh WCB yang memberi latihan kemahiran, galakan dan peluang kepada wanita untuk mencuba perkara baharu. “Apabila wanita menyedari keupayaan sebenar diri mereka, mereka akan menghargai perjalanan hidup dan memupuk keberanian untuk melangkah lebih jauh,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, MAGGI® turut memperluas impaknya melalui kolaborasi strategik bersama Google, TikTok, dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan peluang ekonomi digital. “Perubahan sebenar hanya berlaku apabila kerajaan, sektor swasta dan komuniti berganding bahu,” tambah Dato’ Sri Hajah Nancy.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, En. Juan Aranols, menegaskan bahawa WCB adalah bukti nyata komitmen syarikat terhadap pembangunan masyarakat. “Wanita Cukup Berani ialah manifestasi misi Nestlé untuk meningkatkan kualiti kehidupan. Melalui kerjasama dengan Google dan TikTok, kami membuka peluang digital baharu yang membolehkan wanita maju dalam dunia keusahawanan,” katanya.
Sementara itu, Cik Ivy Tan Link Cheh, Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI® Malaysia dan Singapura, menekankan bahawa WCB kini telah berkembang daripada sekadar jenama dapur kepada rakan kongsi sebenar dalam memperkasakan wanita. “Sejak pelancaran WCB empat tahun lalu, kami sedar bahawa ramai wanita sudah memiliki semangat dan bakat yang luar biasa. Apa yang mereka perlukan hanyalah dorongan dan keyakinan untuk melangkah. Di sinilah WCB memainkan peranan penting,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan mentor WCB 2025 seperti Anne Idris, Alleena Abdullah, Chef Naem dan Ven Luan, yang terus membimbing peserta melalui modul latihan dalam talian dan bersemuka. “Kepada semua peserta dan alumni WCB, inisiatif ini adalah milik anda. Terima kasih kerana menunjukkan makna sebenar keberanian, ketabahan dan kasih sayang melalui dunia masakan,” tambahnya.
Pelancaran WCB 2025 turut menampilkan sesi panel interaktif bersama alumni dan pakar industri, yang menekankan kepentingan pendigitalan, bimbingan dan kemahiran sebagai kunci kepada kejayaan wanita masa kini. Inisiatif ini membuktikan bahawa apabila wanita diberi keyakinan, sokongan dan peluang, mereka bukan sahaja mampu mengubah kehidupan sendiri, tetapi turut membawa impak positif kepada keluarga, komuniti dan negara.