Buat pertama kalinya, Sony Music Malaysia menggabungkan dua nama besar dalam industri muzik tempatan—Vanessa Reynauld, penyanyi bersuara emas, dan Rebel Asia, bintang hip-hop dinamik—untuk menghasilkan sebuah lagu istimewa berjudul “To The Finish Line”. Lagu ini menjadi runut bunyi rasmi (OST) untuk filem “Soloz Game of Life”, yang bakal menemui penonton pada 23 Januari 2025.
“Soloz Game of Life” adalah filem yang penuh emosi dan mendebarkan, mengisahkan perjuangan sengit dalam dunia e-sukan Mobile Legends. Seiring dengan jalan cerita yang sarat dengan cabaran, lagu “To The Finish Line” mengetengahkan tema ketabahan, keberanian, dan kesatuan.
Menurut Vanessa Reynauld, lagu ini diilhamkan sepenuhnya daripada jalan cerita filem tersebut. “‘To The Finish Line’ melengkapkan perjalanan filem ini. Ia menghidupkan semangat penonton dengan melodi yang menyentuh dan mesej yang mendalam,“ jelas Vanessa.
Sementara itu, Rebel Asia menambah bahawa elemen digital dalam lagu ini mencerminkan suasana dunia permainan video yang menjadi inti pati filem tersebut.
“Kami menghasilkan sesuatu yang menggambarkan semangat digital dan keunikan dunia permainan video. Lagu ini menjadi simbol kepada usaha tanpa henti untuk mengejar impian,” katanya.
Mesej utama yang ingin disampaikan adalah semangat untuk tidak berhenti berjuang. “Dalam hidup, anda sendiri yang menentukan di mana garisan penamatnya,” ujar Rebel Asia.
Lagu “To The Finish Line” berentak rancak, sesuai dengan suasana adrenalin dunia e-sukan. Bagi Vanessa, projek ini menjadi peluang untuk mencabar dirinya dengan genre baharu. “Ini pengalaman pertama saya menyanyikan lagu genre ini yang melibatkan elemen AI dan kolaborasi dengan seorang DJ. Ia memang mencabar tetapi menyeronokkan,” katanya.
Rebel Asia turut berkongsi keterujaannya kerana lagu ini berbeza daripada genre hip-hop yang sering diketengahkannya. “Projek ini memberikan peluang untuk saya meneroka genre EDM pop yang lebih segar dan berbeza,” jelasnya.
Kolaborasi antara dua bintang ini nyata membuahkan hasil. “Saya sangat mengagumi gaya rap Rebel Asia. Ia keputusan yang tepat untuk bekerjasama, dan saya gembira dengan hasilnya,” tambah Vanessa.
Vanessa dan Rebel Asia berharap “To The Finish Line” akan memberi inspirasi kepada peminat untuk terus maju dalam kehidupan. “Semoga lagu ini menjadi motivasi kepada semua pendengar untuk tidak berputus asa, dan semoga ia menjadi trend di platform seperti TikTok,” kata Vanessa.
Rebel Asia pula menegaskan bahawa matlamat utama mereka adalah untuk menyampaikan mesej yang memberi semangat. “Kami mahu lagu ini menjadi sumber inspirasi untuk terus melangkah walau apa pun cabaran,” katanya.
Lagu “To The Finish Line” kini boleh distrim di pelbagai platform digital termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.
Video muzik rasmi (MV) dengan elemen visual digital yang mengagumkan akan dilancarkan tidak lama lagi secara eksklusif di saluran sonymusicMYVEVO di YouTube.
Teruskan menyokong Vanessa Reynauld, Rebel Asia, dan filem “Soloz Game of Life” untuk pengalaman yang menginspirasi!