Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi membuktikan reputasinya sebagai institusi pendidikan unggul apabila alumni cemerlangnya, Siti Fairuz Rohaliza Ejahar, diiktiraf sebagai penerima Anugerah Siswi Cemerlang 2025 oleh Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM) pada 10 Mei lalu. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan UPSI, malah memperkukuh imej universiti itu sebagai pelopor dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi yang seimbang dari segi akademik, kepimpinan dan nilai insan.
Siti Fairuz bukan calang-calang graduan. Sebelum ini, beliau juga telah menerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Istiadat Konvokesyen UPSI Kali Ke-26, menjadikan pencapaiannya sebagai antara yang paling mengagumkan dalam kalangan graduan institusi pengajian tinggi di negara ini. Dua anugerah tertinggi dalam satu tahun adalah bukti nyata komitmen, ketekunan dan kecemerlangan yang beliau tonjolkan sepanjang pengajian.
Majlis penganugerahan yang berlangsung dengan penuh penghormatan itu turut menyaksikan penyampaian anugerah oleh Penaung PSWM, YBhg. Toh Puan Dato’ Seri Hajah Dr. Aishah Ong, sebagai pengiktirafan terhadap keunggulan siswazah wanita dalam menghadapi cabaran semasa dan membina masa depan negara. Sejak mula diperkenalkan pada tahun 1993, Anugerah Siswi Cemerlang telah menjadi lambang penghargaan kepada wanita muda yang bukan sahaja pintar, malah aktif dalam komuniti, mempunyai sifat kepimpinan, sahsiah terpuji serta pemikiran kritis yang membina.

Sebagai graduan pendidikan, Siti Fairuz mencerminkan segala nilai yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pencapaiannya melangkaui bilik kuliah beliau aktif dalam pelbagai program kokurikulum, mempamerkan kepimpinan yang matang serta memiliki rasa empati sosial yang tinggi. Karismanya menjadikan beliau figura inspirasi bukan sahaja kepada rakan-rakan seperjuangan, malah kepada generasi muda yang bercita-cita tinggi.
“Anugerah ini bukan sekadar penghormatan kepada diri saya, tetapi juga penghargaan kepada semua yang menyokong dan mempercayai potensi saya. Ia menyemai rasa tanggungjawab untuk terus memberi semula kepada masyarakat dan negara,” ujar beliau penuh rendah hati.
Kejayaan ini sekali gus memperkukuhkan lagi kedudukan UPSI sebagai institusi pendidikan berprestij yang terus konsisten melahirkan graduan berdaya saing dan berkualiti. Menurut PSWM, Siti Fairuz adalah contoh ideal siswazah wanita masa kini cerdas, berprinsip, prihatin dan berjiwa pemimpin. “Inilah generasi yang kita dambakan wanita muda yang mampu menjadi agen perubahan, membimbing masyarakat, dan menjadi suri teladan untuk masa depan,” kata PSWM dalam kenyataan mereka.