Universal Music Malaysia (UMMY), bersama L.Y. Music Factory dan Faithful Music, dengan bangganya melancarkan edisi pertama program pencarian bakat “Bintang Uni-Verse”. Acara pelancaran ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Binti Azman, sekali gus menandakan satu langkah strategik dalam usaha menghubungkan industri muzik dengan sektor pendidikan tinggi di Malaysia.

Bintang Uni-Verse merupakan sebuah program pencarian bakat yang menyediakan platform khusus buat pelajar universiti untuk menonjolkan kebolehan mereka dalam bidang nyanyian. Lebih daripada sekadar pertandingan, program ini turut bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta melalui pengalaman pembelajaran secara langsung dalam industri hiburan tempatan, sekali gus mempersiapkan mereka dengan pengetahuan praktikal dan kefahaman sebenar tentang landskap industri muzik.
Majlis pelancaran yang berlangsung di pejabat Universal Music Malaysia turut menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik antara UMMY dan lima universiti awam terkemuka, iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kerjasama ini bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan industri muzik dalam usaha mencungkil serta membangunkan bakat baharu.

Menurut Pengarah Urusan UMMY, Kim Lim, program ini membuka peluang besar kepada peserta untuk memperoleh pendedahan, bimbingan dan pengalaman industri yang amat bernilai. Beliau menjelaskan bahawa Bintang Uni-Verse berperanan sebagai platform pertemuan antara bakat dan peluang, dengan harapan untuk memperkukuh jaringan strategik antara universiti awam dan industri muzik tempatan. Beliau turut menyatakan hasrat agar program ini menjadi batu asas dalam menemui serta membina bakat Malaysia, di samping menginspirasikan kreativiti dan membentuk generasi artis masa depan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Pengarah Kreatif L.Y. Music Factory, L.Y., turut berkongsi pandangannya bahawa Bintang Uni-Verse bukan sekadar sebuah pertandingan, sebaliknya sebuah platform pembangunan yang menemui dan membentuk generasi profesional muda dengan personaliti kukuh serta potensi jangka panjang. Keunikan program ini terletak pada elemen pemindahan ilmu, di mana pemain industri berkongsi pengalaman sebenar mereka dengan para pelajar, sekali gus menjadikan Bintang Uni-Verse sebagai jambatan bermakna antara proses pembelajaran dan dunia pekerjaan sebenar dalam memperkasakan industri muzik.
Acara pelancaran ini turut dimeriahkan dengan persembahan daripada artis-artis di bawah naungan Universal Music Malaysia seperti Nuha Bahrin dari EMI, Ismail Izzani dari Def Jam Malaysia, dan Mohsein Kush dari Faithful Music, yang mempamerkan kreativiti serta kecemerlangan muzik tempatan. Mohsein Kush menyampaikan pesanan kepada para peserta agar memberikan usaha sepenuhnya dan tidak pernah berputus asa, sambil mengingatkan bahawa sentiasa ada jalan bagi mereka yang bekerja keras. Nuha Bahrin pula berharap agar Bintang Uni-Verse dapat menjadi platform yang membantu peserta menonjolkan bakat, meneroka potensi diri serta membina keyakinan dalam bidang muzik, seterusnya memberi impak positif kepada industri pada masa hadapan.



Melalui inisiatif ini, Bintang Uni-Verse berperanan memperkasakan bakat muda tempatan dengan pendedahan profesional industri, pengiktirafan di peringkat global serta peluang untuk mewakili Malaysia di pentas serantau dan antarabangsa. Maklumat lanjut mengenai tarikh uji bakat, jadual jelajah kampus dan garis panduan penyertaan akan diumumkan tidak lama lagi menerusi platform rasmi Universal Music Malaysia.












