Ikon muzik Bollywood yang dikenal sebagai Raja Melodi, Udit Narayan, dijadualkan bertemu peminatnya di Kuala Lumpur pada 28 Disember 2024.
Konsert ini, yang diatur oleh VVST Digital Creation, akan membawa penonton menjelajahi zaman gemilang industri filem dan muzik Bollywood dari era 90-an hingga ke masa kini.
Sepanjang lebih tiga dekad dalam kariernya, Udit Narayan telah merakamkan lebih 25,000 lagu dalam 36 bahasa dan terkenal dengan suaranya yang sering digunakan oleh tiga Raja Khans Bollywood seperti Datuk Shah Rukh Khan, Salman Khan, dan Amir Khan, serta banyak pelakon lain. Salah satu lagu terkenal beliau, “Papa Kehte Hain,” dari filem “Qayamat Se Qayamat Tak,” tidak hanya melambungkan namanya tetapi juga menciptakan fenomena luar biasa dalam industri muzik Bollywood.
Dalam konsert yang berlangsung di Kuala Lumpur, Udit akan berjumpa dengan peminatnya selepas 12 tahun, dengan persembahan terakhir diadakan di sebuah hotel. Beliau dijadualkan untuk menyanyikan deretan lagu-lagu hit yang pernah mendominasi carta muzik Bollywood. Udit, yang baru sahaja mengadakan konsert di Dubai dan Eropah, sangat teruja untuk kembali ke Malaysia dan berinteraksi dengan peminat di Kuala Lumpur.
Pihak penganjur mengumumkan bahawa para peminat yang hadir akan menikmati pengalaman unik untuk menutup tahun 2024, menjadikannya salah satu kenangan yang tidak akan dilupakan untuk tahun 2025.
Untuk menambah keterujaan peminat, penganjur memberikan peluang kepada mereka untuk memilih lagu-lagu pilihan melalui kempen dan pertandingan yang akan berlangsung dalam beberapa bulan mendatang.
“Kami berharap peminat Udit dapat berpartisipasi dalam proses pemilihan lagu. Kami akan terus memberikan informasi terbaru untuk melibatkan peminat dalam persiapan konsert ini. Oleh itu, kami mengajak semua peminat untuk tetap bersama kami,” ujar Pengarah First Picture Sdn Bhd, En Muhamad Dzul Hilmi Bin Zainol, dalam sidang media hari ini.