Sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang, TV Sarawak (TVS) mempersembahkan rangkaian program istimewa menerusi kempen “Pesta Raya TVS”, sebuah inisiatif khas yang menghimpunkan pelbagai sajian hiburan, inspirasi serta kisah kekeluargaan bagi memeriahkan musim perayaan tahun ini. Kempen ini diumumkan dalam satu sidang media khas dan merangkumi pelbagai kandungan menarik termasuk rancangan hiburan berskala besar, pelancaran lagu raya baharu, filem pendek bertemakan kekeluargaan, program gaya hidup serta tayangan filem istimewa yang bakal menceriakan layar TVS sepanjang Ramadan hingga ke Syawal.
Sebagai antara program utama TVS, Inspirasi Duniamu merupakan rancangan majalah televisyen yang mengetengahkan kisah komuniti, inspirasi serta cerita masyarakat dari seluruh Malaysia, meliputi Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia dan juga luar negara. Setiap episod menggabungkan temu bual eksklusif, laporan lapangan serta naratif visual yang bukan sahaja memaparkan isu semasa, malah turut merangkumi bidang sukan, hiburan dan kisah inspirasi masyarakat. Program ini sekali gus menjadi platform yang meraikan kepelbagaian cerita daripada komuniti tempatan hingga ke pentas global. Episod khas pra-Raya Inspirasi Duniamu akan bersiaran pada 18 Mac 2026, jam 10 malam, membawa penonton menyelami pelbagai kisah inspirasi serta pengisian istimewa sempena musim perayaan.
Sempena Aidilfitri, TVS turut mempersembahkan program hiburan khas bertajuk “Pesta Raya TVS: Dari KL ke Kuching” yang mengetengahkan kemeriahan sambutan rumah terbuka Aidilfitri dengan konsep meriah penuh muzik, gelak tawa dan interaksi santai bersama selebriti. Program ini dihoskan oleh Ghazali Zawawi dan Sharifah Shahira serta menampilkan pelbagai persembahan istimewa daripada barisan artis popular seperti Aina Abdul, Mimifly, Bob Yusof, Marsha Milan, Liza Aziz, Khai Bahar, Sharifah Zarina, Daniesh Suffian, Mawat dan Hanif Arip. Selain itu, program ini turut menampilkan penampilan tokoh industri hiburan seperti Datuk Ramli M.S, Datuk Jalaluddin Hassan, Roy Azman, Raja Azura, Rita Rudaini dan Sharifah Shahora. Menghubungkan kemeriahan sambutan antara Kuala Lumpur dan Kuching, program ini membawa penonton merasai suasana Aidilfitri dari dua lokasi berbeza sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan yang merentasi jarak dan latar budaya. “Pesta Raya TVS: Dari KL ke Kuching” akan disiarkan pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua, jam 9 malam di TVS.
Bagi menambahkan lagi kemeriahan musim perayaan, TVS turut melancarkan lagu raya baharu berjudul “Raya Paling Epik”, sebuah karya ceria yang menampilkan kolaborasi tiga penyanyi muda iaitu Daniesh Suffian, Mawat dan Hanif Arip. Dengan irama pop yang rancak serta lirik yang dekat dengan jiwa generasi muda, lagu ini membawa mesej perpaduan dan kebersamaan dalam menyambut Aidilfitri serta mengajak masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk sama-sama meraikan kemeriahan Syawal. Video muzik “Raya Paling Epik” telah dilancarkan pada 27 Februari 2026 dan kini boleh ditonton di seluruh platform media sosial rasmi TVS.


Turut menjadi antara sorotan kempen ini ialah filem pendek bertemakan kekeluargaan berjudul “Gambar Raya Paling Epik” yang mengisahkan perjalanan seorang remaja bernama Saiful yang berusaha merakam gambar raya paling hebat bagi menyertai sebuah pertandingan fotografi. Dalam usahanya mengejar impian tersebut, Saiful akhirnya menyedari bahawa kebahagiaan sebenar bukan terletak pada pencapaian peribadi semata-mata, tetapi pada momen berharga yang dikongsi bersama keluarga tersayang. Filem pendek ini menampilkan Atiq Azman dan Datuk Fauziah Nawi, dan akan ditayangkan pada malam Hari Raya Aidilfitri, jam 9 malam di TVS.
Bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersama penonton, TVS turut menganjurkan Peraduan Gambar Raya Paling Epik 2026 yang mengajak orang ramai berkongsi gambar raya paling kreatif mereka di media sosial. Peserta hanya perlu memuat naik gambar raya menggunakan lagu “Raya Paling Epik” sebagai latar muzik serta menyertakan tanda pagar #GambarRayaPalingEpik, #RayaPalingEpik dan #TVS122. Peraduan ini berlangsung dari 15 hingga 29 Mac 2026 dengan hadiah wang tunai sehingga RM800 menanti pemenang utama.
Selain itu, program khas “Istimewa Anggun: Seri Aidilfitri” menampilkan Siti Zawawi sebagai hos yang membawa penonton menyelami kemeriahan sambutan Aidilfitri menerusi perkongsian mengenai fesyen, kecantikan serta inspirasi gaya sempena Syawal. Episod istimewa ini turut menampilkan selebriti jemputan seperti Mimifly, Liza Aziz dan Nabila Huda yang berkongsi kenangan serta tradisi sambutan Hari Raya mereka dalam suasana santai dan penuh inspirasi. Program ini akan disiarkan pada 25 Mac 2026, jam 8.30 malam di TVS.
Program bual santai popular “3 Mak Dara” turut kembali untuk musim kedua dengan menampilkan Raja Azura, Sharifah Shahora dan Rita Rudaini sebagai hos utama. Musim terbaharu ini akan membawakan pelbagai topik berkaitan kehidupan, keluarga serta pengalaman wanita dari pelbagai latar belakang, disampaikan dalam suasana yang lebih santai, jujur dan menghiburkan. “3 Mak Dara Musim 2” akan mula bersiaran pada 1 April 2026, setiap Rabu jam 8.30 malam di TVS.
Bagi melengkapkan lagi sambutan perayaan, TVS turut menyajikan pelbagai tayangan filem menarik sepanjang musim Aidilfitri antaranya “Senario The Movie Ops Pocot”, “Senario Asam Garam”, “Rompak Raya”, “Demi Raya”, “Perfect Raya”, “Raya Sebagai Isteri”, “Kurung Kerawang Untuk Adik”, “Takbir Semalam” dan “Musafir Ke?”. Filem-filem ini akan disiarkan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad pada jam 8.30 malam, memberikan pilihan hiburan yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga sepanjang musim perayaan.

Melengkapkan rangkaian program musim perayaan ini, TVS turut menampilkan rancangan khas “Dialog TVS: Perayaan & Perpaduan – Tradisi Menyatukan Malaysia” yang membincangkan bagaimana sambutan perayaan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Program ini akan disiarkan pada 26 Mac 2026, jam 10 malam di TVS.
Dengan pelbagai sajian hiburan, inspirasi dan kisah kekeluargaan yang dekat dengan hati masyarakat, Pesta Raya TVS diharap dapat membawa kemeriahan Aidilfitri ke layar kaca serta memperkukuhkan lagi semangat kebersamaan dalam meraikan Syawal. Orang ramai boleh menyaksikan kesemua program istimewa ini secara eksklusif di TVS serta platform digital rasmi TVS sepanjang musim perayaan tahun ini.