TV3 & TV9 Hidupkan Sambutan Maulidur Rasul dengan Sajian Ilmiah Segar melalui Tanyalah Ustaz

Bagi menghayati keberkatan Maulidur Rasul 1447H, TV3 dan TV9 mempersembahkan rangkaian kandungan ilmiah dan rohani yang padat dengan nilai-nilai keislaman. Inisiatif ini menekankan komitmen kedua-dua saluran untuk menyebarkan ilmu, mendidik masyarakat, serta menggalakkan penghayatan terhadap sunah dan teladan Nabi Muhammad SAW.

Sorotan utama kempen tahun ini ialah program Tanyalah Ustaz yang diperkenalkan dengan imej baharu melalui episod khas bertajuk Bertopengkan Sunah. Episod ini membincangkan isu penyalahgunaan salasilah Nabi Muhammad SAW demi kepentingan peribadi, puak, atau ideologi tertentu, termasuk penggunaan hadis palsu bagi menjustifikasikan tindakan yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar. Datuk Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Yaakub Yusra menjadi panelis dalam episod istimewa ini yang bersiaran pada 5 September 2025, jam 6.50 pagi di TV3 dan TV9.

Selain itu, TV3 dan TV9 turut menampilkan bacaan Surah Yasin 2025 pada 5 September 2025, dibacakan oleh enam qari tersohor termasuk Da’i Hakim, Da’i Fahmi, Ustaz Fakhrul Radhi, Husaini Mahmuri, Amirahman Abas dan Harith Hakimi. Visual A.I. yang menghidupkan maksud ayat suci turut diselitkan bagi memberi pengalaman penghayatan yang lebih mendalam kepada penonton.

Siri kapsul Rasulullah Cahaya Inspirasi, bersiaran dari 2 hingga 7 September 2025 bersama Ustaz Muhamad Amin, mengetengahkan empat sifat utama Nabi Muhammad SAW: Siddiq (jujur), Amanah (dipercayai), Tabligh (menyampaikan), dan Fathonah (bijaksana). Setiap episod menyajikan kisah ringkas daripada kehidupan Baginda yang memberi inspirasi untuk dijadikan pedoman harian.

Selain itu, kapsul Selawat yang bersiaran mulai 5 hingga 7 September 2025 menampilkan kumpulan Nasyid As-Saif dari SK Telok Pulai, Klang, membawakan qasidah selawat berdurasi dua minit dengan penuh penghayatan dan kemerduan. Persembahan ini bukan sahaja menyemai rasa cinta terhadap Nabi Muhammad SAW, malah menonjolkan keindahan seni Islam di kalangan generasi muda.

Terdapat juga program Tanyalah Ustaz: Diari Muslim yang bersiaran dari 29 Ogos hingga 20 September 2025, membimbing penonton menelusuri amalan sunah harian yang sering terlepas pandang. Bersama Ustaz Izmir Fareez, topik yang dibincangkan termasuk Sambut Laungan Azan, Tahnik & Aqiqah, Salam dan Izin, serta Berkat Setiap Suapan.

Dengan rangkaian program berlandaskan ketakwaan ini, TV3 dan TV9 berharap usaha ini dapat mengukuhkan perpaduan masyarakat serta menyemai kasih dan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Untuk informasi terkini dan kandungan menarik, penonton boleh mengikuti TV3 di Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram @TV3Malaysia, serta TV9 di @TV9Malaysia dan TikTok @TV9MalaysiaOfficial.