NONA dan TV3 menyambut ulang tahun ke-41 dalam suasana penuh warna dan emosi menerusi episod khas yang diraikan secara eksklusif di lokasi semula jadi, Cake Piknik di Villa Rimba Flora. Acara ini bukan sekadar ulang tahun, tetapi lambang penghargaan terhadap kekuatan kewanitaan dan kisah hidup yang menginspirasi sepanjang empat dekad siaran NONA.
Dengan tema alam semula jadi yang ceria, majlis dikendalikan pengacara tersayang Amyra Rosli dan menyaksikan kehadiran selebriti, peminat serta pengusaha bakeri tempatan. Tetamu diraikan dengan deretan kek unik yang direka khas masing-masing membawa sentuhan istimewa sempena ulang tahun NONA dan TV3.

Antara sorotan acara ialah persembahan bertenaga Nabila Razali, sesi “Dramatic Success” bersama Chef Kecik dan Nor Arieni Adriena, serta demonstrasi eksklusif oleh Jessica dari @missshortcakes yang menghasilkan kek Mille Feuille berbentuk angka ‘41’ sebagai simbolik usia TV3.
Anugerah Most Dramatic Cake Award turut diberikan kepada baker yang menampilkan hasil paling kreatif dan penuh emosi, menandakan penghargaan terhadap bakat wanita dalam dunia kulinari. Aktiviti vendor, cabutan bertuah dan interaksi mesra antara tetamu dan pembuat kek menjadikan acara ini lebih dari sekadar sambutan ia satu perayaan komuniti kreatif dan suara wanita yang terus berkembang.

Gabungan kek, kisah inspirasi dan momen mesra menjadikan sambutan ulang tahun NONA dan TV3 kali ini bukan sahaja meriah, tetapi turut menyentuh hati. Ia bukti bahawa dalam setiap rasa dan cerita, ada kekuatan wanita yang membentuk identiti NONA sejak 1984. Untuk maklumat lanjut dan sorotan menarik, ikuti @TV3Malaysia dan @dramasangat di media sosial. – Tehtariktimes