TV AlHijrah mengambil serius kenyataan yang tidak tepat dan melulu yang telah ditujukan kepada stesen Islam terkemuka di negara ini melalui satu siaran podcast baru-baru ini. Sejak pelancarannya pada 7 Disember 2010, bersamaan 1 Muharram 1432H, TV AlHijrah telah berkomitmen untuk mempromosikan Islam sebagai gaya hidup serta mendidik masyarakat melalui pelbagai kandungan yang berlandaskan Al-Quran, Hadis, dan Sunnah, selaras dengan prinsip Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
Sebagai sebuah agensi media yang ditaja oleh kerajaan, TV AlHijrah sentiasa mendukung aspirasi pucuk pimpinan negara dalam membentuk masyarakat yang berilmu, progresif, dan positif. Ini dicapai melalui penerbitan pelbagai jenis program seperti bual bicara, dokumentari, berita, rancangan kanak-kanak, dan hiburan, semua ini mematuhi garis panduan serta akta yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Dengan slogan “Satukan Ummah Dengan Ilmu,” hampir keseluruhan program TV AlHijrah adalah berfokuskan kepada pengisian ilmu dan kerohanian. Stesen ini juga berkongsi dasar dan inisiatif kerajaan dalam membangun negara MADANI yang lebih mampan dan inklusif, berdasarkan pelan Al Falah.
Pencapaian TV AlHijrah sebagai saluran agama amat membanggakan, di mana stesen ini mampu bersaing dalam kalangan lima saluran terbaik di Malaysia yang biasanya didominasi oleh saluran hiburan drama dan konsert. Selama 14 tahun, berjuta-juta rakyat Malaysia telah merasai manfaat daripada kandungan yang disiarkan, dengan banyak maklum balas positif diterima, termasuk dari negara-negara jiran.
Berikut adalah beberapa program menarik yang diterbitkan dan disiarkan oleh TV AlHijrah, yang tersedia di pelbagai platform, termasuk media digital, untuk memupuk nilai-nilai Islami dan kerohanian dalam kalangan rakyat Malaysia:
Program Agama:
– Panggilan Agung: Kapsul zikir, selawat, perkongsian ringkas, dan azan.
– Assalamualaikum Subuh dan Dhuha: Bual bicara pagi yang membina.
– Waalalikumsalam: Bual bicara malam untuk muhasabah diri.
– Quran@114 dan MyQuranTime: Program tadabbur Al-Quran yang mendalam.
– Cinta Ilmu: Bual bicara yang mengupas pelbagai isu agama.
– Risalat Al Imam As Syafie: Drama bersiri tentang kehidupan Imam As-Syafie.
– Dakwah Live: Program dakwah yang lebih santai dan mudah dihadam.
– 40 Kalam Junjungan: Perkongsian dari kitab Hadis 40.
– Slot Fiqh: Berdasarkan pemikiran Sheikh Yusuf Al-Qardawi.
– 30 Minit Bersama Dato’ Ustaz Shamsuri Ahmad: Pengajian berkitab Bahrul Mazi.
Hal Ehwal Semasa:
– Berita AlHijrah: Berita harian yang memberi fokus kepada isu-isu umat Islam.
– Analisis: Bual bicara yang mendiskusikan isu semasa dengan tokoh-tokoh berpengaruh.
– 60 Minit Bersama: Perkongsian inisiatif kerajaan dengan menteri dan pegawai tinggi.
– GlobAlHijrah: Berita ummah antarabangsa mingguan dalam bahasa Malaysia dan Arab.
– Bicara Fail Syariah: Bual bicara yang mengupas fungsi mahkamah syariah.
Perkongsian dan Motivasi:
– Pesan, Matahati MADANI, Riwayat Akhir Zaman, dan Angeline Tanya Abang Jawab.
Dakwah Kontemporari:
– Hijrah Berselawat, Gema Haflah, dan Carta 114.
Sebagai kesimpulan, peranan yang dimainkan oleh TV AlHijrah dalam membentuk pemikiran masyarakat dan melahirkan generasi yang lebih berilmu adalah sangat penting. Melalui penerbitan kandungan yang kreatif dan relevan, TV AlHijrah terus berusaha untuk menjadi sumber ilmu dan inspirasi. Oleh itu, jangan lupa untuk terus setia bersama TV AlHijrah, di mana kita semua dapat “Satukan Ummah Dengan Ilmu.”