Sebagai pembuka tahun 2026, penyanyi muda berpengalaman, Irfan Haris, memilih untuk memulakan langkahnya dengan sebuah doa yang dilagukan. “Tolong” bukan sekadar sebuah single, tetapi luahan rasa tentang cinta, ketakutan, dan kebergantungan yang sering terpendam. Selepas kejayaan “Rasa & Takdir”, duet istimewa bersama kakak kesayangan, Amira Othman, yang meraih hampir empat juta tontonan di YouTube, karya terbitan Sony Music Entertainment Malaysia ini menzahirkan kematangan seorang penyanyi yang semakin yakin mendakap kejujuran emosinya.
“Tolong” bukan lagu yang dibina untuk mengejar sensasi, sebaliknya memilih untuk berdiri dalam ruang yang tenang dan jujur, sebuah ruang di mana emosi dibenarkan bernafas dan perasaan tidak perlu disembunyikan. Bagi Irfan, “Tolong” merupakan antara karya yang paling dekat dengan hatinya setakat ini. Dengan susunan muzik yang kemas oleh penerbit Wan Saleh serta melodi dan lirik hasil ciptaan sepupunya, Dr. Syafiq Rashid, lagu ini hadir dalam bentuk sederhana tetapi sarat makna. “Melodi balada yang merintih dengan lirik yang mudah difahami ini sangat bermakna bagi saya. Lagu ini juga senang untuk disampaikan kerana ia dekat dengan apa yang saya rasa,” ujar Irfan.
Sebagai seorang penyanyi yang telah melalui pelbagai fasa dalam industri muzik, Irfan kini memihak kepada pendekatan yang lebih bersahaja dalam menyampaikan lagu, membiarkan emosi memimpin tanpa perlu berlindung di sebalik teknik yang berlebihan. Menurut Dr. Syafiq Rashid, perkataan “Tolong” dipilih sebagai nadi utama lagu kerana sifatnya yang sangat manusiawi. “‘Tolong’ merupakan satu bentuk ekspresi rayuan, pengharapan dan kebergantungan yang menjadi tema keseluruhan lagu ini,” jelasnya. Lagu ini bergerak di antara dua emosi yang sering hadir serentak dalam kehidupan, iaitu rasa bergantung dan rasa takut kehilangan. Ia bukan tentang kelemahan, tetapi keberanian untuk merendahkan ego dan mengakui keperluan terhadap insan yang kita sayangi.

Dari sudut penulisan, “Tolong” diinspirasikan oleh pengalaman sebenar yang diperkukuhkan secara emosi bagi memberi impak lebih mendalam kepada pendengar. “Trauma atas kehilangan yang pernah berlaku membuatkan saya rasa takut sekiranya perpisahan berlaku lagi. Ketakutan itu dizahirkan melalui rayuan agar tidak ditinggalkan,” kongsi Dr. Syafiq. Kejujuran ini menjadikan “Tolong” sebuah lagu yang mudah difahami, dekat dengan realiti, dan terasa seperti luahan yang tidak dirancang tetapi perlu diluahkan.
Walaupun “Tolong” boleh ditafsirkan dalam pelbagai konteks hubungan, bagi Irfan sendiri, emosi lagu ini sentiasa terikat dengan keluarga, terutamanya ibu dan bapanya. “Saya tidak boleh bayangkan hidup saya tanpa mereka. Saya tidak mahu mereka jauh. Saya letakkan perspektif itu untuk dapatkan feel ketika menyampaikan lagu ini,” katanya. Baris lirik “Jangan lepaskan walau cuma sedetik” menjadi simbol kasih sayang Irfan terhadap keluarganya, cinta yang tidak bersyarat, yang jarang diungkap tetapi sentiasa hadir sebagai kekuatan utama dalam kehidupannya.
“‘Tolong’ bukanlah lagu yang dibina untuk menonjolkan vokal tinggi atau kebolehan teknikal semata-mata. Cabaran sebenar bagi saya adalah memastikan setiap rasa sampai ke hati pendengar. Saya tidak kejar vokal yang tinggi. Saya hanya sampaikan emosi yang raw, sebab bila orang dengar dan mereka boleh rasa, itu lebih mahal bagi saya,” jelas Irfan. Pendekatan ini menyerlahkan kematangan penyanyi muda itu yang memahami bahawa kekuatan sebenar terletak pada kejujuran dan penyampaian yang ikhlas.
Selepas kejayaan “Rasa & Takdir”, Irfan mengakui wujudnya tekanan untuk menentukan arah single yang seterusnya. Namun, beliau memilih untuk tidak mengulang formula lama. “Saya ambil risiko untuk buat sesuatu yang berbeza kerana tidak mahu orang bandingkan lagu ini dengan single terdahulu,” katanya. Keputusan ini membuktikan kesediaan Irfan untuk terus berkembang, bereksperimen, dan mempercayai naluri seninya sendiri dengan mesej yang ingin disampaikan melalui “Tolong.”

“Saya berharap agar semua yang mendengarnya dapat menerima dengan hati yang ikhlas. Hargailah insan tersayang selagi mereka masih ada, dan fahamilah bahawa cinta yang paling besar sering hadir dalam bentuk paling sederhana,” akhiri Irfan. Single “Tolong” nyanyian Irfan Haris kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti Apple Music, Spotify, dan YouTube sebagai karya pembuka tahun 2026 yang menandakan kematangan Irfan sebagai penyanyi serta langkah penting dalam perjalanan seninya yang masih panjang dan penuh potensi.