Syamel Kembali Menggamit Emosi Menerusi Lagu Balada ‘Berakhir Kita

Penyanyi berbakat dan bersuara lunak, Syamel, kembali menyentuh emosi peminat menerusi single balada terbaru berjudul Berakhir Kita. Lagu ini merupakan hasil ciptaan komposer terkenal Shazriq Azeman dan Omar K, yang turut bertindak selaku penerbit. Projek ini juga merupakan kolaborasi antara Universal Music Malaysia, Maison Management, dan Global Keynote Sdn. Bhd.

Mengangkat tema percintaan yang tak kesampaian, Berakhir Kita menyelami perasaan pilu dan pedih hati apabila cinta terputus sebelum sempat berkembang. Lagu ini menjadi luahan hati bagi mereka yang pernah merasai kekecewaan cinta yang tidak berpenghujung, di mana harapan dan impian cinta musnah di depan mata.

Dalam perkongsian Syamel, beliau menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Shazriq dan Omar K sebagai sesuatu yang amat menyenangkan.

“Mereka memberi saya sepenuh kebebasan dalam mengolah lagu ini mengikut gaya dan keselesaan nyanyian saya. Suasana positif ini menjadikan proses rakaman lebih santai dan penuh makna,” jelas Syamel.

Menariknya, Berakhir Kita juga akan hadir dengan paparan visual eksklusif yang akan disatukan bersama sebuah drama bersiri bakal ditayangkan. Syamel percaya bahawa gabungan visual dan audio akan memperkukuhkan lagi emosi serta jalan cerita lagu ini.

“Lirik dan melodi lagu ini memang menyayat hati. Dengan babak-babak dalam drama tersebut, saya yakin impaknya akan lebih mendalam dan mengena di hati penonton,” tambahnya.

Syamel turut berkongsi bahawa proses penghasilan lagu ini berjalan lancar hasil komitmen tinggi dan kerjasama semua pihak yang terlibat. Setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan lagu ini dilahirkan dengan penuh emosi dan keikhlasan.

“Tenaga kerja yang terlibat sangat berdedikasi. Setiap seorang memberikan usaha terbaik, menjadikan proses ini satu pengalaman berharga,” ujar Syamel lagi.

Beliau juga menyuarakan harapan agar Berakhir Kita dapat menyentuh hati para pendengar, serta menjadi lagu yang mereka kaitkan dengan kisah cinta atau pengalaman peribadi masing-masing.

“Saya harap lagu ini akan melekat di hati pendengar, dan menjadi teman kepada sesiapa yang sedang melalui saat perit dalam percintaan,” kata Syamel penuh harapan.

Berakhir Kita Kini Tersedia di Semua Platform Penstriman Digital

Single Berakhir Kita boleh didengarkan bermula 6 Ogos 2025 di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, dan lainnya. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati lagu yang sarat dengan emosi ini! – Tehtariktimes