Stacy Bakal Gegarkan Sabah: Konsert Eksklusif “Aku Stacy Menggegar Kota U” Diumumkan

Konsert solo mega penyanyi popular kelahiran Sabah, Stacy, akhirnya diumumkan secara rasmi menerusi satu sidang media eksklusif yang berlangsung penuh meriah di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, hari ini. Pengumuman ini menandakan satu detik istimewa buat Stacy dan para peminatnya di negeri kelahiran beliau, selepas penantian sekian lama untuk menyaksikan penyanyi bertenaga ini mengadakan konsert solo berskala besar di bumi Sabah.

Sidang media yang bermula seawal jam 3 petang menyaksikan kehadiran para wakil media, tetamu kehormat serta rakan-rakan artis. Mereka diberi ruang untuk beramah mesra sebelum dikejutkan dengan kemunculan Stacy yang tampil anggun dalam persalinan serba putih. Lebih mengujakan, Stacy mempersembahkan tiga buah lagu secara akustik “Pelangi Senja”, “Not For Sale” dan “Jahat” di kawasan luar bangunan SICC yang berlatarbelakangkan pemandangan laut serta matahari terbenam, mencipta suasana magis dan penuh emosional buat semua yang hadir.

Dalam sesi bersama media, Stacy menjelaskan bahawa konsert bertajuk “Aku Stacy Menggegar Kota U” bukan sekadar sebuah persembahan biasa. Sebaliknya, ia merupakan sebuah dedikasi ikhlas yang menampilkan kreativiti dan jiwa seninya sepenuhnya. Menurutnya, konsert ini adalah hadiah istimewa untuk rakyat Sabah yang sentiasa menyokong perjalanan kariernya sejak dari awal. Stacy turut berkongsi keterujaannya untuk menampilkan gabungan penari profesional dari Semenanjung dan Sabah, dengan pelbagai kejutan yang akan dipersembahkan di atas pentas. “Saya mahu jadikan malam itu penuh warna, tenaga dan momen yang tidak akan dilupakan,” katanya dengan penuh semangat.

Antara segmen yang paling dinantikan dalam konsert ini adalah persembahan duet Stacy bersama suami tercinta, Akim Ahmad. Pasangan ini yang sinonim dengan persembahan romantis bakal menyatukan kembali magis mereka di atas pentas dalam salah satu segmen khas yang dijangka akan mengundang reaksi manis para peminat. Akim turut berkongsi rasa syukur kerana cuaca yang baik mengiringi majlis sidang media walaupun kebiasaannya hujan turun pada waktu petang. “Kami memang risau, sebab buat di luar. Tapi hari ni cuaca sangat cantik. Alhamdulillah, berkat doa semua,” ujarnya sambil tersenyum.

Konsert “Aku Stacy Menggegar Kota U” yang bakal berlangsung pada 21 Jun 2025, jam 8 malam di SICC ini dianjurkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment dan dibawakan oleh U Mobile. Lebih menarik, Stacy memainkan peranan sepenuhnya dalam merangka konsep konsert, pemilihan lagu, susunan muzik, koreografi, dan pemilihan pasukan produksi. Ini menjadikan konsert ini sebagai karya paling peribadi dan autentik dalam sejarah seni persembahannya.

“Konsert ini amat bermakna buat saya, dan saya amat bersyukur kepada pihak U Mobile kerana sudi menjadi rakan utama untuk menjayakan visi besar ini. Komitmen mereka terhadap industri hiburan tanah air membuka ruang untuk saya merealisasikan pengalaman konsert bertaraf antarabangsa ini khas buat warga Sabah dan seluruh peminat saya,” ujar Stacy dalam nada penuh penghargaan.

Konsert ini juga bakal membawa penonton menyusuri perjalanan muzik Stacy dari awal kemunculannya menerusi lagu ikonik “Aku Stacy”, sehinggalah ke karya terkini seperti “Menyala”. Setiap lagu akan dihidupkan semula dengan susunan muzik yang segar, persembahan visual moden dan elemen koreografi yang mengujakan. “Saya nak semua penonton pulang dengan rasa puas, gembira, dan terinspirasi,” tambahnya lagi.

Tiket rasmi untuk konsert ini telah mula dijual sejak 10 April dan boleh dibeli melalui platform www.ticket2u.com. Lima kategori tiket ditawarkan iaitu: Not For Sale (Seating) RM6,000, Aku Stacy (Seating) RM399, Pelangi Senja (Free Standing)RM257, Gilalah (Free Standing) RM197 dan Jahat (Free Standing) RM137.

Para peminat yang ingin mengikuti perkembangan terkini konsert ini digalakkan untuk mengikuti akaun media sosial rasmi Stacy serta saluran digital U Mobile. Pelbagai kandungan eksklusif di sebalik tabir serta sorotan menarik bakal dikongsikan menjelang hari konsert. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah dalam karier Stacy ini!