Sudah hampir tiga dekad kumpulan Spider mengukir nama dalam industri muzik tanah air sejak kemunculan mereka pada 1996. Berbekalkan karya hebat seperti Aladdin, Relaku Pujuk, Nazraku, Kasih Latifah dan Cinta Dewa Dewi, Spider kini dikenali bukan sekadar kumpulan rock berpengaruh, tetapi sebagai ikon rujukan dalam kalangan pemuzik generasi baharu. Dikenali dengan gaya muzik rock bercampur elemen ska, Spider kekal relevan dan terus berbisa hingga ke hari ini.
Pada 25 Oktober 2025, Spider bakal mempersembahkan konsert SPIDER UNPLUGGED di Mega Star Arena, Kuala Lumpur satu persembahan eksklusif dengan konsep akustik penuh yang lebih dekat dan jujur buat para peminat. Konsert ini menekankan elemen audio, teknikal dan susunan muzik yang teliti serta tidak dibuat secara sambil lewa. Menurut Tam selaku vokalis, Spider hanya mahu hadir ke pentas jika dapat memberikan persembahan terbaik dan ‘kasi pecah panggung’, bukan sekadar mengisi jadual konsert.
Penganjur Naga Legend Entertainment menyifatkan SPIDER UNPLUGGED sebagai momen istimewa yang akan mencatat sejarah tersendiri. Ini adalah kali pertama mereka membawakan konsep unplugged bersama Spider, yang bakal memberikan pengalaman lebih ‘mewah’ dan eksklusif buat penonton. Semangat dan kerjasama antara Spider dan penganjur menjadikan konsert ini antara yang paling dinanti tahun ini.
Tiket mula dijual bermula 25 April 2025, jam 3 petang di laman rasmi www.ilassotickets.com/spiderunplugged. Empat kategori tiket ditawarkan iaitu RM198 (ALADDIN – Free Seating), RM238 (CINTA DEWA DEWI – Numbered Seat), RM298 (KASIH LATIFAH – Numbered Seating), dan RM388 (RELAKU PUJUK – Numbered Seating). Jangan lepaskan peluang menyaksikan SPIDER UNPLUGGED yang dijangka menjadi antara konsert paling bersejarah dan eksklusif daripada kumpulan legenda Malaysia ini. – Tehtariktimes