Filem romantik fantasi box office dari Indonesia, Sore: Istri dari Masa Depan, bakal menawan pawagam Malaysia bermula 25 September 2025. Selepas meraih lebih 3 juta penonton dengan kutipan melebihi USD 9 juta di tanah airnya, karya ini turut menjadi wakil rasmi Indonesia ke Academy Awards ke-98 (Oscar) bagi kategori Best International Feature Film.
Diedarkan secara rasmi oleh Primeworks Studios, filem arahan Yandy Laurens ini diterbitkan oleh Cerita Films dan dibintangi pelakon hebat seperti Dion Wiyoko, Sheila Dara Aisha, Goran Bogdan, Lara Nekic, Livio Badurina, Maya Hasan serta Mathias Muchus. Kisahnya berputar pada Jonathan (Dion Wiyoko), seorang lelaki yang dikejutkan dengan kemunculan wanita asing bernama Sore (Sheila Dara) yang mengaku sebagai isterinya dari masa depan. Dengan misi mengubah gaya hidup Jonathan sebelum terlambat, rahsia demi rahsia terbongkar sehingga menggoncang takdir hidup mereka.
Diadaptasi daripada webseries popular dengan judul sama, versi layar perak Sore tampil dengan skala lebih megah, emosi lebih mendalam, dan sentuhan sinematik yang berani. Menurut Yandy Laurens, karya ini lahir daripada pengalaman peribadinya tentang cinta tanpa batas, lalu dikembangkan menjadi sebuah filem besar yang menyentuh jutaan hati penonton.

Selain naratif yang sarat makna, penonton turut disajikan dengan sinematografi menawan dari Jakarta hingga ke Croatia dan Finland, mempamerkan panorama aurora, landskap desa Eropah, hingga mentari senja yang mengasyikkan. Visual-visual indah ini memperkukuh kisah cinta fantasi yang melintasi ruang, masa dan sempadan. Mengiringinya, runut bunyi utama Terbuang Dalam Waktu nyanyian kumpulan rock alternatif Barasuara menjadikan pengalaman menonton lebih intim dan berbekas di hati.
Filem ini turut mendapat sokongan jenama tempatan Kenangan Coffee sebagai rakan promosi rasmi. Dengan pencapaian sebagai filem keenam tertinggi kutipan di Indonesia tahun ini, Sore: Istri dari Masa Depan diyakini bakal mengukir kejayaan tersendiri di Malaysia.
Sebuah kisah tentang cinta, takdir dan pengorbanan, Sore mengajak penonton bertanya: Jika diberi kesempatan kedua, apa yang akan anda ubah dalam hidup anda?