KUALA LUMPUR, 7 JULAI 2025 – Selepas sekian lama menyepi, bintang hip hop terkenal tanah air, SonaOne, kembali menyapa peminat dengan single terbaharunya berjudul “Stamina”, sebuah karya reflektif yang menyentuh soal menahan rasa dan kekal tenang dalam kekalutan emosi.
Mula dilancarkan di semua platform digital, “Stamina” memperlihatkan sisi lebih matang dan jujur dari SonaOne sebuah lagu yang menurutnya berkisar tentang “ketahanan emosi, bukan fizikal.” Katanya, “Ini tentang mengekalkan ‘cool’ bila rasa nak luah, tapi kita tahan… sambil berharap orang tu tak hilang begitu saja.”
Lagu ini terhasil secara organik bermula dengan hook rawak “mmm-mmm-mmm” yang akhirnya dikekalkan dalam versi akhir. Proses kreatif turut dibantu oleh K1O dan Wolfy yang memperkemas struktur dan lirik tanpa menghilangkan rasa asli lagu tersebut. “Demo asal dah ada ‘jiwa’. Kami cuma tambah perincian agar nadi lagu ini tetap terasa,” ujar SonaOne.
“Stamina” juga menjadi permulaan kepada fasa baharu dalam kerjaya muziknya, yang beliau gelar “Kenobi season” menjanjikan lebih banyak karya, visual dan penceritaan mendalam. Tanpa sebarang gimik atau sensasi palsu, SonaOne tampil dengan karya tulen dan produksi berkualiti tinggi.
“Kalau lagu ni boleh kena tepat dengan perasaan pendengar, itu dah cukup bagi saya,” katanya lagi. Stamina kini boleh distrim di semua platform penstriman digital. – Tehtariktimes