Slam X Exists Hidupkan Kembali Zaman Keemasan Rock di Mega Star Arena, 26 Julai Ini

Dua nama besar dalam sejarah muzik Malaysia, Slam dan Exists, akan bersatu dalam satu konsert istimewa yang bakal menggamit emosi dan nostalgia peminat pada 26 Julai ini di Mega Star Arena Kuala Lumpur. Dinamakan ‘Slam X Exists – Our Journey’, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya adalah sebuah catatan perjalanan penuh warna dua kumpulan legenda yang telah mencorakkan irama tanah air selama lebih tiga dekad.

Konsert ini merupakan hasil usaha kolaboratif antara SS Karya Venture dan Republic Mokhmah Records yang tampil dengan misi untuk bukan sekadar menghidupkan kembali kenangan, tetapi juga menceritakan sejarah perjuangan panjang dua kumpulan ikonik ini. Menurut pengasas SS Karya Venture, Shah Nizam Abdul Halim, tajuk ‘Our Journey’ dipilih kerana nilai simboliknya yang cukup kuat—ia membawa erti kepada semua yang telah ditempuh Slam dan Exists dalam membina nama serta kredibiliti seni mereka.

Slam sendiri lahir hasil sentuhan Shah, anggota asal Exists, yang kemudiannya menubuhkan Slam bersama Zamani, Lili, Eddie, Man dan Lukhman. Exists pula telah merentas zaman dengan pelbagai perubahan formasi, namun tetap utuh dengan barisan pemuzik handalan seperti Ajai, Ujang, Along, Musa dan Ezad yang kini menjadi suara utama kumpulan tersebut.

‘Slam X Exists – Our Journey’ dijangka menjadi malam penuh magis dengan deretan lagu-lagu malar segar seperti Rindiani, Gerimis Mengundang, Mentari Muncul Lagi (Slam), serta Jesnita, Langkah Seiringan, dan Julia (Exists). Peminat bukan sahaja bakal disajikan dengan rangkaian hit yang menjadi siulan ramai, tetapi juga momen istimewa yang menyatukan dua vokalis tersohor – Zamani dan Ezad – di atas satu pentas.

“Konsert ini adalah penghargaan buat peminat. Ia lebih daripada sekadar muzik – ia adalah refleksi kepada semangat setiakawan, jatuh bangun dalam industri, dan bagaimana muzik menyatukan kita dari latar berbeza,” kata Shah Slam yang juga akan tampil bersama Slam dalam persembahan tersebut.

Tiket ke konsert ini mendapat sambutan luar biasa sejak mula dijual. Kategori PS4 Langkah Seiringan habis dijual dalam masa hanya tiga hari, manakala kategori PS3 turut hampir habis dalam tempoh seminggu. Tiket masih boleh didapati menerusi www.ilassoTicket.com/slamexists dengan harga bermula RM168 hingga RM3000 untuk pakej Grand VIP Kembali Terjalin.

Buat peminat setia, ini adalah peluang yang sukar diulang. Slam X Exists – Our Journey bukan sahaja mengangkat kisah dua kumpulan ternama ini, malah mengiktiraf anda para peminat yang menjadi nadi perjuangan mereka sejak dahulu hingga kini.

Jumpa anda di Mega Star Arena, 26 Julai 2025. Bersama kita merayakan perjalanan muzik yang telah menyatukan beribu hati sejak zaman remaja hingga kini. – Tehtariktimes