Dua nama tersohor dalam dunia muzik Nusantara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda, kembali bergabung dalam satu kolaborasi yang cukup menyentuh hati. Menerusi single terbaru berjudul “Menamakanmu Cinta”, gandingan dua sahabat ini sekali lagi berjaya menghidupkan magis cinta melalui melodi dan lirik yang penuh makna.
Lagu ini bukan sekadar kolaborasi dua negara, tetapi juga penyatuan emosi yang telah terjalin sejak sekian lama. Sebelum ini, Ade pernah mencipta tiga lagu ikonik buat Siti menerusi album Fragmen pada tahun 2014 Terbaik Bagimu, Engkau dan Tak Pernah Ragu yang semuanya menjadi kegemaran ramai. Kini, mereka kembali dengan karya yang lebih matang, membawa elemen cinta yang universal dan sarat emosi.
Siti meluahkan rasa syukurnya kerana dapat sekali lagi bekerjasama dengan sahabatnya itu. Baginya, Menamakanmu Cinta bukan hanya lagu cinta biasa, tetapi juga lambang keindahan dalam menghargai mereka yang kita kasihi. “Lagu ini begitu indah dengan sentuhan khas daripada Ade, yang selalu tahu cara menyusun melodi yang menyentuh perasaan. Saya harap peminat di Malaysia, Indonesia dan di seluruh dunia dapat menerima lagu ini dengan hati terbuka,” kata Siti.
Lagu ini menurut beliau membawa satu mesej yang mendalam tentang cinta yang sejati, tentang perasaan yang tulus dan tentang momen-momen berharga bersama insan tersayang. Ia bukan sekadar lagu cinta untuk pasangan, tetapi juga sebagai penghormatan kepada cinta dalam segala bentuk – keluarga, sahabat dan mereka yang dekat di hati.

Ade Govinda pula menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Siti kali ini sebagai sesuatu yang sangat istimewa. Inspirasi lagu ini lahir dari keinginan untuk mencipta lagu cinta yang boleh dimainkan dalam setiap majlis pernikahan, merakam detik indah dua insan yang bersatu. “Siti sangat profesional, tetapi pada masa yang sama penuh kasih sayang. Beliau selalu bawa makanan untuk semua ketika sesi rakaman. Suasananya santai, tapi hasilnya luar biasa,” kongsi Ade dengan senyuman.
Beliau juga mengharapkan lagu ini akan menjadi soundtrack cinta sejati untuk ramai pasangan di luar sana. “Bukan sekadar lirik dan melodi, tetapi saya harap setiap bait lagu ini dapat menghidupkan kenangan dan jadi pengiring di setiap momen bahagia,” katanya penuh harapan.
Menamakanmu Cinta bukan hanya menampilkan vokal yang mantap dari Siti dan sentuhan magis dari Ade, tetapi juga memperlihatkan kematangan dua figura seni yang tahu bagaimana menyentuh hati pendengar. Lagu ini kini sudah boleh dinikmati di semua platform digital dan dijangka mencuri tempat dalam playlist romantis peminat muzik serantau. –Tehtariktimes